Perang di Iran.
Susulan kemelut yang berterusan antara Iran dan Israel, semua warga Malaysia yang berada di Iran dinasihatkan meninggalkan negara berkenaan serta-merta melalui apa-apa kaedah selamat dan tersedia.
Notis tersebut dikeluarkan Kementerian Luar (KLN) yang memantau perkembangan keselamatan di Iran melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tehran.
“Memandangkan keadaan yang semakin meruncing, semua rakyat Malaysia yang berada di Iran adalah dinasihatkan meninggalkan negara tersebut dengan serta-merta melalui apa jua kaedah selamat dan tersedia.
“Situasi semasa adalah sangat tidak menentu dan berpotensi menjadi lebih buruk tanpa sebarang amaran awal.
“Keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia kekal sebagai keutamaan
kementerian ini,” kata kenyataan dikeluarkan Wisma Putra.
Katanya, keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di Iran kekal sebagai keutamaan, selain usaha dipertingkatkan susulan tindakan agresif rejim Zionis terhadap Iran Jumaat lalu, yang memburukkan lagi ketegangan secara ketara di rantau berkenaan.
“Kedutaan Besar Malaysia di Tehran ketika ini terus berhubung rapat dengan semua rakyat Malaysia yang berdaftar di Iran. Semua mereka disahkan selamat dan sudah dinasihatkan untuk meninggalkan Iran dengan segera.
“Kedutaan Besar Malaysia di Tehran juga akan terus menyediakan bantuan konsular yang diperlukan bagi memudahkan proses perjalanan mereka dari Tehran,” katanya.
Jumaat lalu, Israel dilaporkan berkata, serangan ke atas Iran pada dilancarkan susulan kebimbangan terhadap tindakan Tehran membangunkan keupayaan senjata nuklear sejak kebelakangan ini.
Media Iran melaporkan beberapa letupan kedengaran di Tehran selepas Israel melancarkan serangan, awal pagi Jumaat lalu.
Sementara itu, KLN berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, bilik gerakan diaktifkan berkuat kuasa hari ini, dengan ahli keluarga terdekat rakyat Malaysia yang berada di Iran boleh menghubungi untukmendapatkan maklumat lanjut di +603 8887 4570 atau melalui e-mel di dutyofficer@kln.gov.my.
Jika berlaku kecemasan, rakyat Malaysia di Iran boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tehran di alamat No.25, 2nd Alley, North Zarafshan St., Shahrak-e-Gharb atau menerusi talian +98 21 8807 2444, +98 21 8807 8606, +98 933 535 2602 serta e-mel di mwtehran@kln.gov.my / mwconsular.teh@gmail.com.
AI hanya alat, bukan pengganti pengkarya: Fahmi
MP DAP gesa tindakan tegas berhubung isu hina simbol agama
27 barangan dikawal sempena Aidilfitri
Mufti Perlis bimbang pengaruh gerakan Hindutva menular, punca provokasi kaum
Penjawat awam rugi RM342,400 terperdaya phone scam
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan