Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid Hamidi menyokong cadangan supaya Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menubuhkan badan khas bagi menyiasat pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) dari 2017 hingga kini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, siasatan itu penting bagi menjelaskan apa yang berlaku dalam tempoh berkenaan berdasarkan fakta dan rekod sebenar, sekali gus membantu memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap pengurusan serta tadbir urus TH.
Beliau berkata cadangan itu dikemukakan secara tidak formal oleh beberapa Ahli Parlimen yang menghadiri forum ‘Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji’ pada Musyawarah Nasional di Kuala Lumpur hari ini.
Forum berkenaan turut membincangkan isu tadbir urus dan pengurusan TH, termasuk perkara yang dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020.
“Pada hemat saya, perkara ini ialah satu saranan yang harus diikuti agar tidak ada tuduhan ‘penyakauan’, sebaliknya sijil yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara yang jelas memperlihatkan sijil bersih.
“Ia menunjukkan pengauditan yang dilakukan terhadap TH berdasarkan aktanya, dan Akta Tabung Haji 1995 menyebut badan audit yang harus melakukan pengauditan ialah Jabatan Audit Negara,” katanya selepas menghadiri musyawarah itu.
Ahmad Zahid berkata PAC wajar meneliti perkara itu bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai pengurusan TH selepas 2017.
“Inilah yang harus dilihat oleh PAC agar duduk perkara ini dapat membetulkan persepsi dan berdasarkan realiti yang mahu diketahui oleh khalayak umum,” katanya.
Mengulas cadangan supaya RCI baharu ditubuhkan bagi menyiasat pengurusan TH selepas 2017, beliau berpandangan PAC lebih sesuai menjalankan siasatan berkenaan kerana jawatankuasa itu mempunyai bidang kuasa yang jelas.
“Saya fikir PAC lebih sesuai untuk melakukan penyiasatan kerana jawatankuasa itu mempunyai locus standi yang tercatat dalam tugas dan tanggungjawab PAC itu sendiri,” katanya.
Ditanya sama ada resolusi Musyawarah Nasional perlu dibawa ke Mesyuarat Kabinet, Ahmad Zahid berkata perkara itu tidak perlu.
“Saya tidak fikir perkara ini perlu dibawa ke Kabinet kerana forum ini ialah forum penjelasan. Pada hemat saya, perkara yang disarankan secara tidak formal tadi oleh Ahli Parlimen harus diberi keutamaan, terutamanya PAC harus menubuhkan badan penyiasat di bawah tanggungjawab PAC sendiri,” katanya.
Isu pengurusan TH kembali mendapat perhatian selepas laporan RCI berkaitan institusi itu mencetuskan perbincangan mengenai tadbir urus, pengurusan dana serta keputusan yang dibuat dalam tempoh tertentu.
Cadangan siasatan selepas 2017 dilihat sebagai usaha mendapatkan gambaran menyeluruh berdasarkan rekod dan fakta, bukan persepsi politik.
Syed Azman Tokoh Perdana Maulidur Rasul, Anwar ucap tahniah kepada semua penerima
Sosma masih relevan, Ayob Khan tolak ISA dikembalikan: Laporan
Anwar: Jadikan ajaran Rasulullah panduan hidup
Anwar rasmi Menara FINAS baharu, industri kreatif masuk fasa baharu
Mahkamah tolak permohonan lucut hak wang RM21.1 juta Aman Palestin
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri