Zizie Izette Abdul Samad.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepaskan dan membebaskan pelakon Zizie Izette Abdul Samad daripada tiga pertuduhan bersubahat dalam kes rasuah berjumlah RM2.8 juta yang dikaitkan dengan pelaburan RM150 juta Felcra Berhad dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Hakim Rosli Ahmad membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
“Mahkamah ini memutuskan tertuduh berjaya menimbulkan keraguan dalam kes ini. Pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes melampaui keraguan munasabah seperti yang diperuntukkan di bawah Perenggan 173(m)(i) Kanun Acara Jenayah.
“Oleh itu, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan pindaan,” katanya ketika menyampaikan keputusan.
Mahkamah turut membatalkan jaminan yang dikenakan ke atas Zizie, mengarahkan wang jaminan dipulangkan kepada penjamin serta memulangkan pasport miliknya selepas semua syarat tambahan dibatalkan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dan Mohd Fadhly Mohd Zamry, manakala Zizie diwakili peguam K Kumaraendran, M Athimulan dan Ridha Abdah Subri.
Selesai prosiding, Mohd Fadhly memaklumkan pihak pendakwaan masih belum membuat keputusan sama ada akan mengemukakan rayuan dan akan menunggu arahan lanjut daripada Peguam Negara.
Kes itu menyaksikan Zizie didakwa bersubahat dengan Allahyarham Bung Moktar Radin, yang ketika kejadian merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, untuk memperoleh suapan keseluruhan RM2.8 juta sebagai balasan mendapatkan kelulusan pelaburan RM150 juta Felcra dalam produk unit amanah Public Mutual Berhad.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa menerima wang berjumlah RM2.2 juta secara tunai daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid. Dua lagi pertuduhan membabitkan wang RM262,500 dan RM337,500 yang didakwa diterima melalui akaun pelaburan unit amanah atas nama beliau.
Kes itu melalui beberapa peringkat perundangan sejak 2022. Pada September tahun berkenaan, Mahkamah Sesyen memerintahkan Bung Moktar dan Zizie membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi kemudian membebaskan pasangan itu pada September 2023 sebelum keputusan tersebut dibatalkan Mahkamah Rayuan pada November 2024 yang mengarahkan mereka meneruskan pembelaan.
Pada Januari lalu, Bung Moktar dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes berikutan beliau meninggal dunia pada 5 Disember 2025.
Zizie pula menutup kes pembelaannya pada 5 Mac lalu selepas selesai memberikan keterangan, sebelum Mahkamah Sesyen hari ini memutuskan beliau dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan.
Ulama tampil bincang RCI Tabung Haji, gesa amanah pendeposit dibela
1,098 Pusat NADI sasar pecah rekod MBOR dalam program Senam Sihat MADANI
AUKU mansuh, Anwar mahu mahasiswa bebas bersuara
Doktor terpedaya pelaburan online, rugi RM558,000
Karnival Internet Selamat himpunkan lebih 500 penduduk Kalabakan
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri