Azalina Othman Said.
Akta Keselamatan Dalam Talian (AKD) yang diwartakan baru-baru ini dijangka mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2026, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said.
Azalina menjelaskan bahawa akta tersebut belum dikuatkuasakan serta-merta kerana Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) masih dalam proses memuktamadkan sepuluh perundangan subsidiari yang diperlukan.
“Akta ini diperkenalkan bagi memperkukuh dan mempromosikan keselamatan dalam talian di Malaysia dengan mengawal kandungan berbahaya serta menetapkan tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan aplikasi dan rangkaian,” katanya di Dewan Rakyat.
Sebagai sebahagian daripada rangka kerja baharu itu, sebuah Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian yang bebas akan ditubuhkan.
Jawatankuasa ini akan dianggotai oleh profesional dari dalam dan luar negara yang mewakili agensi dan pihak berkepentingan relevan.
“Fungsi jawatankuasa ini termasuk menasihati MCMC mengenai hal keselamatan dalam talian, menentukan jenis kandungan berbahaya, dan menetapkan keutamaan untuk mengurangkan pendedahan pengguna,” jelas Azalina.
Beliau juga menekankan peranan penting jawatankuasa sebagai platform kerjasama berterusan dengan syarikat media sosial gergasi seperti Meta, Google, TikTok, dan X.
“Platform ini adalah untuk memastikan pelaksanaan langkah keselamatan, moderasi kandungan dan perlindungan kanak-kanak yang berkesan,” katanya.
Azalina, yang akan mempengerusikan mesyuarat pro tem pertama jawatankuasa itu, turut mengakui wujudnya cabaran dalam pelaksanaannya.
“Kita perlu menangani dengan teliti keseimbangan antara kebebasan bersuara dan perlindungan, isu bidang kuasa rentas sempadan, serta kebimbangan privasi.”
Penubuhan jawatankuasa ini dilihat kritikal memandangkan Malaysia mempunyai 33.1 juta pengguna aktif media sosial, mewakili 96 peratus populasi, dengan anggaran 10.6 juta pengguna berusia bawah 18 tahun.
“Ini menunjukkan kerajaan tidak boleh bertindak bersendirian. Persekitaran dalam talian yang selamat hanya boleh dicapai melalui sinergi praktikal antara kerajaan dan penyedia platform,” tegas Azalina.
Beliau menambah, walaupun kerajaan menetapkan dasar, pelaksanaan teknikal keselamatan masih terletak di tangan penyedia platform.
Banjir Nepal: Kerajaan giat kesan 54 rakyat Malaysia
SPRM reman bekas Pengerusi dan KSP berkait RCI TH
Harga petrol tanpa subsidi naik 5 sen
Dua pembantu Najib diperintah bayar RM483,000 kepada pendakwah bebas
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri