Berita palsu.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menurunkan sebanyak 159 kandungan palsu berkaitan krisis tenaga global dalam tempoh empat hari sejak 29 Mac lalu, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Menurut beliau, kandungan tidak sahih itu merangkumi dakwaan mengenai kenaikan harga petrol, tuduhan kerajaan membayar “tol” di Selat Hormuz serta spekulasi peningkatan tarif elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Dalam tempoh krisis tenaga global ini, kita berdepan dengan kandungan palsu yang direka oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Ada yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan dan menyunting tajuk berita media arus perdana untuk mengelirukan orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Wilayah Persekutuan 2026 di Bandar Tun Razak.
Beliau mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan maklumat.
“Rakyat perlu mendapatkan maklumat daripada sumber sahih dan tidak berkongsi perkara yang belum dipastikan kerana tindakan undang-undang boleh dikenakan,” tegasnya.
Krisis tenaga global yang sedang melanda ketika ini berpunca daripada ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan, sekali gus memberi tekanan kepada harga tenaga dan kos sara hidup di banyak negara.
Situasi ini turut membuka ruang kepada penyebaran maklumat palsu yang boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.
Dalam pada itu, Fahmi berkata pimpinan dan ahli PKR perlu memainkan peranan membantu kerajaan memberi penjelasan tepat kepada rakyat berhubung situasi semasa.
Katanya, mereka juga harus menjadi “mata dan telinga” kerajaan dalam menangkis dakwaan tidak berasas, termasuk isu kononnya berlaku kekurangan bekalan makanan di peringkat runcit.
“Kerajaan sedang berusaha memastikan bekalan makanan mencukupi di pasaran. Jika ada aktiviti mencurigakan seperti menyorokkan bekalan, laporkan segera kepada pihak berkuasa,” katanya.
Kerajaan kaji pengecualian PTPTN untuk graduan kelas pertama
RM14 bilion wang tidak dituntut, ramai tak sedar: Amir Hamzah
Winbox, Alibaba antara sindiket judi dalam talian terbesar dalam pantauan polis
Pengerusi TH terima Ijazah Kehormat Doktor Da’wah dan Pengurusan USIM
Mahkamah keluar injunksi halang Bloomberg siar artikel berkait Farhash: Laporan
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum