1Malaysia Develoment Berhad (1MDB).
1Malaysia Development Berhad (1MDB) memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa mendengar saman terhadap firma guaman United Kingdom (UK), White & Case LLP.
Peguam yang mewakili 1MDB, Lim Zhi Ying, mengesahkan notis usul itu difailkan pada 28 Ogos lalu.
Menurutnya, Mahkamah Persekutuan menetapkan 12 Oktober depan untuk mendengar permohonan kebenaran rayuan berkenaan.
Dalam permohonan itu, 1MDB mengemukakan 24 persoalan undang-undang berkaitan isu bidang kuasa serta penggabungan saman yang didakwa mempunyai kepentingan terhadap prinsip undang-undang umum dan perlu diputuskan buat kali pertama oleh Mahkamah Persekutuan.
“Mahkamah Persekutuan menetapkan 12 Oktober untuk mendengar permohonan kebenaran merayu itu,” kata Lim seperti dilaporkan Bernama.
Pada 20 Ogos lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan White & Case dan memutuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak mempunyai bidang kuasa mendengar saman yang difailkan 1MDB terhadap firma guaman terbabit.
Hakim Muniandy yang menyampaikan keputusan sebulat suara panel berkata syarat di bawah Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 berkaitan penyampaian prosiding di luar Malaysia tidak dipenuhi.
Mahkamah Rayuan turut mendapati 1MDB gagal membuktikan Malaysia merupakan forum yang sesuai untuk mendengar saman berkenaan.
Dalam keputusan itu, panel turut menolak keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini membenarkan saman terhadap White & Case digabungkan dengan satu lagi saman 1MDB terhadap beberapa pihak lain, termasuk Deutsche Bank dan PetroSaudi International.
1MDB memfailkan saman pada 2024 dengan menuntut kira-kira AS$1.83 bilion dan AS$33 juta daripada White & Case serta Patrick Mahony, pengarah PetroSaudi International.
1MDB mendakwa firma guaman itu membantu PetroSaudi melakukan penipuan dan berkomplot untuk memudaratkan kepentingannya ketika bertindak sebagai penasihat undang-undang.
Dakwaan itu berkaitan dua urus niaga korporat, termasuk usaha sama 1MDB dengan PetroSaudi pada 2009 serta penstrukturan semula kepentingan dalam usaha sama itu pada 2010.
Writ saman berkenaan disampaikan kepada White & Case di pejabatnya di UK. Firma itu kemudian memohon supaya penyampaian tersebut diketepikan serta mahkamah Malaysia mengisytiharkan dirinya tidak mempunyai bidang kuasa terhadap saman terbabit.
Mahkamah Tinggi pada tahun lalu bagaimanapun menolak bantahan tersebut, antara lain selepas mengambil kira kewujudan saksi perbicaraan di Malaysia.
Permohonan terbaharu 1MDB kini akan menentukan sama ada isu bidang kuasa berkenaan boleh dibawa ke peringkat Mahkamah Persekutuan.
Lawatan Anwar ke Shanghai perkukuh hubungan Malaysia-China
MCMC siasat video pementasan 2018 yang kembali tular
Gaji rakyat Malaysia naik kepada RM3,803 pada 2025
Skandal FELDA: Laporan awal mula didedah minggu depan
Projek Kampung Angkat MADANI perkasa kemudahan dua kampung di Kuala Pilah: Fahmi
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum