2,257 pengarah syarikat gagal bayar caruman disekat ke luar negara

March 13, 2026 · Isu semasa

Seramai 2,257 pengarah syarikat disekat daripada meninggalkan negara sepanjang tahun 2025 kerana gagal menjelaskan caruman pekerja kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin berkata tindakan itu diambil selepas nama majikan terlibat diserahkan kepada Jabatan Imigresen mengikut Seksyen 39 Akta KWSP 1991.

Menurut beliau, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan tegas bagi memastikan majikan mematuhi tanggungjawab mereka terhadap pekerja.

“Semua majikan wajib menunaikan caruman pekerja mengikut Seksyen 43(1) Akta KWSP. Majikan yang gagal memenuhi kewajipan membayar caruman boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan termasuk prosiding sivil, pendakwaan jenayah serta sekatan perjalanan ke luar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata dengan tambahan sekatan pada tahun lalu, jumlah keseluruhan pengarah syarikat yang dikenakan larangan perjalanan kini mencecah 14,332 orang sehingga Disember 2025 atas kesalahan sama.

Selain sekatan perjalanan, KWSP turut mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan yang ingkar. Sepanjang tahun lalu, sebanyak 3,530 saman sivil telah difailkan manakala 6,011 tindakan jenayah diambil terhadap majikan serta pengarah syarikat yang gagal membayar caruman pekerja.

Sazaliza berkata pihaknya sentiasa memantau pematuhan majikan bagi memastikan caruman dibayar tepat pada waktunya.

“Pembayaran caruman yang konsisten amat penting bukan sahaja untuk melindungi hak pekerja, tetapi juga memastikan simpanan persaraan mereka terus berkembang dan memberi asas kewangan yang kukuh pada masa depan,” katanya.

Bagi tempoh Januari hingga Disember 2025, KWSP menerima 21,029 aduan daripada pekerja berkaitan tunggakan caruman majikan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 8,868 kes berjaya diselesaikan manakala 12,161 kes lagi masih dalam siasatan serta tindakan perundangan.

KWSP menegaskan perlindungan terhadap simpanan persaraan ahli kekal menjadi keutamaan agensi itu. Sehubungan itu, ahli digalakkan menyemak akaun mereka secara berkala melalui aplikasi i-Akaun bagi memastikan caruman majikan dikreditkan seperti sepatutnya.

Majikan pula digesa menggunakan kemudahan i-Akaun Majikan untuk memantau senarai pekerja serta rekod pembayaran caruman bagi mengelakkan sebarang pelanggaran undang-undang.

Berita berkaitan
Tiada syarikat malaysia terbabit pembakaran hutan Indonesia: Fahmi
21 jam lalu· Isu semasa
KWSP perkenal potongan zakat dividen Simpanan Syariah
October 12, 2026· Isu semasa
Hantaran KWSP RM100,000 warnai pernikahan Syed Saddiq, Bella
October 10, 2026· Isu semasa
Skandal pindah milik tanah: Bekas Pengarah Besar FELDA didakwa tipu Lembaga Pengarah
September 30, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Jangan serah keselamatan digital anak kepada platform semata-mata
October 24, 2026 · Isu semasa
Dana Inovasi Media: Fahmi mahu AI bantu wartawan, bukan ganti mereka
October 24, 2026 · Isu semasa
Kes scam: Tawaran komisen RM1,200, wanita rugi RM72,467
October 24, 2026 · Isu semasa
Pengendali aplikasi TuJu mohon maaf, navigasi dijangka pulih 6 November
16 jam lalu · Isu semasa
MCMC siasat Facebook gagal sekat video serangan guru: Fahmi
19 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok