Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Forum yang diadakan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) terus menjadi ruang penting buat pengamal media memperkukuh daya tahan industri dalam menghadapi perubahan teknologi dan landskap maklumat yang semakin pantas.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, forum bertemakan ‘Media Berintegriti, Teras Kredibiliti’ itu bukan sekadar sesi wacana, sebaliknya platform membentuk hala tuju kewartawanan negara yang disertai lebih 200 pengamal media seluruh negara.
“Tema ini sangat penting untuk memastikan industri media kekal mampan dan berdaya tahan dalam persekitaran maklumat yang berubah dengan cepat,” katanya ketika merasmikan forum itu hari ini.
Beliau juga menegaskan kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan secara seimbang tanpa mengabaikan nilai asas kewartawanan.
“AI boleh membantu meningkatkan kecekapan, tetapi ia tidak boleh menggantikan pertimbangan manusia, integriti dan akauntabiliti,” katanya.
Forum itu diadakan menjelang sambutan HAWANA 2026 di Pulau Pinang pada 20 Jun, yang bakal menumpukan isu kemampanan media, perubahan profesion serta penggunaan teknologi baharu.
Dalam perkembangan berkaitan, Nie Ching juga berkata Dana Inovasi Media menunjukkan kemajuan positif dalam menyokong organisasi media tempatan.
Setakat ini, puluhan organisasi telah menerima peruntukan bagi latihan, pembangunan teknologi dan kandungan.
Beliau turut menggalakkan organisasi media berdaftar memohon dana tersebut.
“Ini peluang untuk meningkatkan kemahiran dan meneroka pendekatan baharu agar industri terus relevan,” katanya.
Selain itu, inisiatif Tabung Kasih@HAWANA yang diuruskan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) terus membantu kebajikan pengamal media.
Sehingga kini, ratusan wartawan di seluruh negara telah menerima manfaat dengan jumlah sumbangan mencecah hampir RM2 juta.
Menurutnya lagi, cabaran wartawan bukan sahaja melibatkan profesionalisme, malah turut merangkumi aspek keselamatan dan kesihatan.
“Kita perlu memastikan bukan sahaja institusi media terus kukuh, tetapi juga kebajikan individu di sebalik setiap laporan sentiasa terpelihara,” katanya.
HAWANA yang diperkenalkan kerajaan sejak 2018 bertujuan mengiktiraf peranan wartawan sebagai penyampai maklumat utama negara, selain mengangkat etika dan integriti dalam dunia kewartawanan yang semakin mencabar.
Malaysia terus kukuh antara negara paling aman dunia
IPTA terima kemasukan pelajar berdasarkan merit, tiada pintu belakang: Adam Adli
Parlimen bebas bahas, undi calon pendakwa raya: Azalina
Kuota 200 liter RON95 cukup untuk hampir semua pengguna: Amir Hamzah
Ahli NGO didakwa cuci wang hampir RM18 juta, beli banglo dan kenderaan mewah
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar