Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bakal dibubar?
Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor meluluskan pindaan undang-undang bagi membolehkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), langkah yang disifatkan kerajaan negeri sebagai usaha memperkukuh pentadbiran.
Usul pindaan kepada Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1985 itu diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti apabila 40 daripada 56 ADUN bersetuju.
Menteri Besar Johor,Onn Hafiz Ghazi, ketika membentangkan usul tersebut berkata pelantikan ADUN tambahan itu penting selaras dengan pembangunan pesat negeri serta kemasukan pelaburan baharu.
“ADUN dilantik ini dicadangkan tidak lebih lima orang menjadikan jumlah keseluruhan 61. Mereka tidak melalui pilihan raya tetapi bertujuan melengkapkan komposisi sedia ada,” katanya.
Beliau menegaskan langkah itu mampu meningkatkan kualiti perbahasan serta membantu kerajaan membuat keputusan lebih menyeluruh.
“Kita mahu bawa masuk individu berpengalaman dan berkemahiran supaya proses menggubal dasar menjadi lebih berimpak,” ujarnya.
Cadangan itu bagaimanapun dibahaskan secara hangat oleh wakil rakyat.
Anuar Abd Manap (BN-Pemanis) menyokong langkah tersebut tetapi mengingatkan supaya pelantikan dibuat secara telus dan berasaskan merit.
“Kita perlukan individu yang benar-benar berkualiti. Ini bukan soal menambah kerusi, tetapi menambah nilai kepada pentadbiran negeri,” katanya, sambil menambah kepakaran dalam bidang seperti ekonomi dan perancangan bandar amat diperlukan.
Namun, Andrew Chen Kah Eng (PH-Stulang) berpandangan pendekatan itu bukan penyelesaian terbaik.
Menurutnya, isu utama adalah ketidakseimbangan jumlah pengundi antara kawasan DUN.
“Persempadanan semula lebih relevan untuk dibincangkan. Jika mahu tambah wakil rakyat, kita boleh lakukan melalui proses itu,” katanya.
Beliau turut mengkritik cara usul itu dibawa yang disifatkan tergesa-gesa tanpa rundingan mencukupi dengan pihak pembangkang.
“Kami tidak bersetuju dengan pendekatan ini,” katanya.
Perangi rasuah bukan mudah, berdepan tentangan pelbagai pihak: PMX
Pemuda MCA bidas DAPSY, dakwa tidak faham struktur pentadbiran FELDA
Bersatu nafi bantah kemasukan Pejuang ke PN, bantah kemasukan PCM: Hilman
Tun Faisal dakwa Hamzah punca keretakan PN, PAS campur urusan dalaman Bersatu
Parti Rafizi terlalu taksub kritik kerajaan, tiada formula bantu rakyat: AMK
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar