Fahmi Fadzil menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada bekas Ketua Pengarang Melaka Hari Ini, Ishak Mohamed Salleh.
Bekas Ketua Pengarang Melaka Hari Ini, Ishak Mohamed Salleh menerima sumbangan menerusi Tabung Kasih@HAWANA dalam satu kunjungan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di kediamannya hari ini.
Ishak, 65, yang pernah menerajui Melaka Hari Ini selama 18 tahun sehingga 2018, kini berdepan masalah kesihatan termasuk diabetes dan penyakit saraf yang menyebabkan beliau kehilangan deria rasa pada bahagian kanan tubuh.
Fahmi berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan pengamal media, khususnya mereka yang memerlukan bantuan selepas menabur bakti dalam industri kewartawanan.
“Golongan media memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat. Justeru, kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian, terutama mereka yang diuji dengan masalah kesihatan dan kewangan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tabung Kasih@HAWANA diperkenalkan pada April 2023 bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) sebagai inisiatif membantu pengamal media yang berdepan kesusahan, termasuk masalah kesihatan dan beban hidup.
Sehingga kini, seramai 740 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat daripada tabung berkenaan yang diselaraskan Kementerian Komunikasi menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia.
Program ziarah itu turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin serta Ketua Pengarang BERNAMA, Arul Rajoo Durar Raj.
HAWANA merupakan acara tahunan yang diadakan bagi menghargai sumbangan pengamal media dan memperkukuh peranan kewartawanan dalam pembangunan negara.
MCMC arah turunkan lebih 271,000 kandungan scam dan judi online
MCMC perkukuh kerjasama banteras scam dalam talian dengan GASA: Fahmi
Banyak akaun palsu digunakan untuk hasilkan kandungan 3R: Fahmi
Malaysia gesa perjanjian damai AS-Iran dipercepat: PMX
FINAS, TikTok Malaysia lancar Program Belia Kreatif
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan