Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menziarahi wartawan Asia Times yang berpangkalan di Labuan, Adam Kong Jeng Li.
Wartawan Asia Times yang berpangkalan di Labuan, Adam Kong Jeng Li, menjadi pengamal media ke-861 menerima manfaat Tabung Kasih@HAWANA, bagi membantu meringankan beban mendapatkan kaki palsu baharu.
Adam, 38, yang dilahirkan dengan kecacatan pada kaki kanan, menerima kunjungan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di kediamannya di Taman Arena Kerupang, di sini hari ini.
Dalam kunjungan itu, Adam menerima bantuan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA X TM, selain sumbangan peribadi Fahmi bagi membantu menampung kos pembelian kaki palsu baharu.
Fahmi berkata, Adam sudah menggunakan kaki palsu sejak berusia lapan tahun dan perlu menukarnya beberapa kali apabila meningkat usia serta keperluan fizikalnya berubah.
“Selama ini, beliau terpaksa menukar kaki palsu apabila usianya meningkat dan apabila terdapat bahagian tertentu yang rosak. Pembaikan juga perlu dibuat dan pastinya melibatkan kos tambahan.
“Kini, beliau memerlukan kaki palsu baharu yang lebih selesa dan bersesuaian dengan keperluan semasanya serta rutin harian,” katanya.
Adam mula berkhidmat dengan Asia Times sejak 2023. Kaki palsu yang digunakan ketika ini sudah berusia lebih tujuh tahun dan semakin lusuh, sekali gus menjejaskan keselesaan serta pergerakannya.
Keadaan itu turut memberi cabaran kepada Adam untuk menjalankan tugasan lapangan sebagai wartawan, terutama apabila memerlukan pergerakan yang lebih aktif.
Prihatin dengan keadaan tersebut, Fahmi turut menghulurkan sumbangan peribadi bagi membantu Adam mendapatkan kaki palsu baharu yang lebih sesuai dengan keperluannya.
Tabung Kasih@HAWANA X TM merupakan inisiatif di bawah Tabung Kasih@HAWANA yang menggunakan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada Telekom Malaysia (TM).
Sejak diperkenalkan pada Jun tahun ini, seramai 90 pengamal media telah menerima manfaat menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA X TM.
Tabung Kasih@HAWANA pula dilancarkan Kementerian Komunikasi melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada April 2023 bagi membantu pengamal media yang berdepan masalah kesihatan, kebajikan dan kewangan.
Sebelum Adam, seramai 860 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Abdul Halim Hamzah dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Bernama, Shukri Ishak.
Polis Negeri Sembilan siasat dua kes hina institusi diraja, lelaki ditahan
Data 7.7 juta pengguna Waze didakwa dijual di dark web
Super El Nino dijangka berlarutan hingga Januari 2027
Jerebu: Malaysia tuntut Indonesia bertindak, bawa isu ke ASEAN
Isu penilaian hartanah TH, bekas CEO dan CFO dihadapkan ke mahkamah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum