Orang Melayu risau identiti Islam semakin terhakis: Kajian Musyawarah Nasional

May 10, 2026 · Isu semasa

Satu kajian lapangan yang dibentangkan semasa Musyawarah Nasional ‘Keresahan Bangsa Melayu: Apa Penyelesaiannya’ mendapati majoriti masyarakat Melayu melahirkan kebimbangan serius terhadap isu agama, identiti Melayu-Islam serta pengaruh liberalisme dan pluralisme yang dilihat semakin mencabar kedudukan Islam di negara ini.

Pengerusi Teras Agama Musyawarah Nasional, Prof Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, dapatan kajian melibatkan 642 responden itu menunjukkan keresahan masyarakat Melayu terhadap masa depan agama dan institusi Islam bukan lagi isu terpencil.

“Ia menunjukkan keresahan masyarakat Melayu terhadap isu agama adalah nyata dan perlu diberi perhatian serius,” katanya ketika membentangkan hasil kajian pada sidang pleno di Hotel Premiera, hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 95.8 peratus responden percaya identiti Melayu tidak dapat dipisahkan daripada asas Islam, manakala 81.3 peratus pula bimbang generasi muda semakin menjauh daripada ajaran agama.

Kajian itu dijalankan selama dua minggu menggunakan beberapa kaedah kluster bagi menilai pandangan masyarakat Melayu terhadap isu agama, sosial dan kedudukan institusi Islam.

Hasil kajian turut disemak oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Mufti Melaka dan wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Selain itu, sebanyak 84.6 peratus responden menyatakan kebimbangan terhadap fahaman liberal, manakala 84.9 peratus melihat pluralisme boleh menjejaskan akidah umat Islam.

Pengaruh media sosial dan budaya Barat turut menjadi perhatian apabila 81.8 peratus responden berpendapat ia tidak selari dengan nilai Islam.

Dalam konteks politik pula, 86.2 peratus responden berpandangan kepimpinan negara tanpa asas Islam boleh menjejaskan kedudukan agama, sementara 82.3 peratus menganggap kestabilan politik Melayu penting bagi menjaga kepentingan Islam.

Kajian itu juga menunjukkan isu pendidikan agama dan ekonomi Islam masih menjadi perhatian utama masyarakat.

Seramai 73.1 peratus responden berasakan pendidikan agama masih belum mencukupi, manakala 91.4 peratus mahu agenda halal terus diperkasakan.

Susulan dapatan tersebut, Musyawarah Nasional mencadangkan supaya institusi syariah diperkukuhkan termasuk memperluas kuasa Mahkamah Syariah menerusi pindaan undang-undang berkaitan seperti RUU 355, selain penubuhan Majlis Profesor Pengajian Islam Negara bagi memberi nasihat berkala kepada kerajaan mengenai hal ehwal Islam.

Berita berkaitan
Akmal tempelak DAPSY desak bubar Parlimen bagi buat PRU awal
May 28, 2026· Politik
Tun Faisal nafi Bersatu mahu sertai PH, bidas pihak cuba kaitkan Azmin
May 28, 2026· Politik
DAPSY desak PRU diadakan serentak jika UMNO Johor bergerak solo
May 28, 2026· Politik
DNAA: Zahid mohon halang cabaran Badan Peguam ke Mahkamah Persekutuan
May 26, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Kerajaan cadang wajibkan pengiklan dalam media sosial sahkan identiti, elak scam
6 jam lalu · Isu semasa
Kerajaan kaji semula perbelanjaan susulan krisis global: Akmal Nasrullah
11 jam lalu · Isu semasa
Anwar ajak rakyat tolak kebencian sempena Hari Wesak
11 jam lalu · Isu semasa
Anwar umum kenaikkan Geran Interim kepada Sabah RM1.5 Bilion
May 30, 2026 · Isu semasa
Amanah Selangor bidas Liu berhubung isu ladang babi
May 30, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
May 17, 2026
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
May 12, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok