Kad pengenalan dan pasport baharu bermula pada Jun ini.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi jaminan pelaksanaan MyKad dengan struktur baharu yang dijadual bermula Jun ini tidak akan menjejaskan penerima bantuan kerajaan termasuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Penjelasan itu dibuat susulan kebimbangan orang ramai selepas tersebar dakwaan di media sosial kononnya bantuan kerajaan mungkin dihentikan atau nama penerima tercicir apabila proses pertukaran MyKad baharu dilaksanakan.
Dalam kenyataan hari ini, JPN memaklumkan sistem pangkalan data sedia ada akan dikemas kini secara automatik bagi memastikan semua maklumat penerima bantuan kekal selamat dan tidak terjejas.
“Proses migrasi maklumat akan berlaku secara automatik dalam sistem pangkalan data pusat, sekali gus memastikan bantuan terus diterima oleh penerima yang layak,” menurut kenyataan itu.
JPN turut menjelaskan pihaknya bekerjasama rapat dengan kementerian serta agensi berkaitan bagi memastikan proses penyaluran subsidi dan bantuan berjalan lancar sepanjang tempoh peralihan kepada MyKad baharu.
Menurut jabatan itu, pengenalan kad pengenalan versi baharu berkenaan bertujuan memperkukuh ciri keselamatan identiti rakyat selain meningkatkan kecekapan proses pengesahan identiti penerima bantuan.
“Fokus utama JPN adalah meningkatkan keselamatan identiti rakyat dan bukannya menyukarkan rakyat menerima bantuan kerajaan,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pengenalan MyKad struktur baharu sebagai sebahagian usaha mempertingkat sistem keselamatan dokumen pengenalan diri negara yang digunakan lebih 30 juta rakyat Malaysia.
Langkah itu juga selari dengan perkembangan teknologi semasa bagi mengurangkan risiko pemalsuan identiti dan penyalahgunaan dokumen rasmi.
Dalam pada itu, orang ramai diminta tidak mudah percaya dengan khabar angin atau maklumat palsu berkaitan pertukaran MyKad, termasuk dakwaan kononnya penerima bantuan wajib menukar kad dengan segera untuk terus menikmati bantuan kerajaan.
JPN memaklumkan proses penukaran MyKad baharu akan dilakukan secara berfasa dan maklumat lanjut mengenai kaedah permohonan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Ekonomi malaysia dijangka terus kukuh tahun depan: Bank Dunia
PMX bantah langkah Norway batal kontrak peluru berpandu LCS
Harga minyak dunia naik menjelang pertemuan Trump-Jinping
Krisis global boleh ganggu bekalan barang: Mydin
Wanita di Miri rugi hampir RM289,000 ditipu pelaburan saham palsu
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil