Kad pengenalan dan pasport baharu.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan pengeluaran sebanyak 275,785 MyKad generasi baharu di seluruh negara sejak dilancarkan pada 17 September hingga 20 Oktober lalu.
Johor mencatatkan jumlah pengeluaran tertinggi dengan 31,392 kad, diikuti Kuala Lumpur sebanyak 29,601, Selangor (26,736), Sarawak (25,642) dan Sabah (22,523).
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah itu menunjukkan sambutan menggalakkan masyarakat terhadap MyKad generasi baharu yang dilengkapi ciri keselamatan lebih canggih.
Menurutnya, penambahbaikan dilakukan bagi memastikan ciri keselamatan kad pengenalan negara terus relevan dengan perkembangan teknologi semasa selepas MyKad generasi terdahulu digunakan selama kira-kira 12 tahun.
“JPN mengambil langkah untuk mengemas kini lagi ciri keselamatan. Maka itu kita namakan MyKad generasi baharu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Pendaftaran Negara (HPN) Ke-78 serta Pelancaran Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI di Dewan Serbaguna Kampung Melayu Sedenak, hari ini.
MyKad generasi baharu dilengkapi 53 ciri keselamatan berbanding 23 ciri pada kad terdahulu, termasuk *transparent window*, kod QR, ciri ultraungu, hologram dan mikroteks.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution menasihatkan orang ramai supaya tidak tergesa-gesa menukar MyKad masing-masing kerana JPN memberi jaminan bekalan kad mencukupi untuk memenuhi permintaan seluruh negara.
Beliau berkata, ketika ini kira-kira 24 juta MyKad sedia ada berada dalam edaran, manakala JPN menerima purata 200,000 permohonan setiap bulan bagi pelbagai urusan.
Permohonan itu merangkumi pengeluaran kad pengenalan baharu, penggantian kad rosak serta permohonan bagi individu yang mencapai usia 18 tahun.
“Kami tidak ada unjuran apa-apa… yang penting pastikan bekalan kad mencukupi untuk orang ramai yang memilih untuk menukar MyKad generasi baharu,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan MyKad semakin meningkat susulan pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan yang memerlukan penggunaan kad pengenalan, termasuk pembelian bahan api, minyak masak dan penebusan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Pelancaran MyKad generasi baharu merupakan sebahagian usaha kerajaan memperkukuh keselamatan dokumen pengenalan diri rakyat, selain memastikan kemudahan urusan rasmi dan akses kepada bantuan kerajaan terus terjamin.
Kapal bawa ketamin RM785 juta milik syarikat Malaysia: Polis
Kerajaan sanggup tanggung subsidi minyak demi rakyat: PMX
Anwar: Ekonomi meningkat, masalah kos sara hidup rakyat tak diabaikan
23 kawasan catat IPU tidak sihat, Seremban tertinggi setakat 4 petang
Jangan serah keselamatan digital anak kepada platform semata-mata
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum