Tony Pua.
Veteran DAP, Tony Pua menggesa Pakatan Harapan (PH) menetapkan garis masa untuk menamatkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) susulan keputusan BN Johor mahu bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurut Pua, tindakan itu membuktikan UMNO tidak lagi komited terhadap kerjasama politik dalam Kerajaan Madani dan hanya mahu menguntungkan pihak sendiri.
“UMNO telah menunjukkan sifat sebenar mereka. Ini menjadikan kerjasama pilihan raya antara PH dan BN dalam PRU16 tidak boleh dipertahankan lagi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Pua turut mendakwa PH berisiko “ditikam dari belakang” sekiranya kerjasama itu diteruskan tanpa pendirian yang jelas daripada BN.
Kenyataan beliau dibuat sehari selepas BN Johor mengumumkan hasrat untuk bertanding secara solo di semua kerusi DUN, walaupun gabungan itu masih bekerjasama dengan PH di peringkat negeri dan Persekutuan.
Pengerusi BN Johor, Onn Hafiz Ghazi berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama kepimpinan UMNO negeri dan pusat.
Bagaimanapun, Pua menegaskan beliau tidak yakin keputusan di Johor tidak akan memberi kesan kepada hubungan PH-BN di peringkat nasional.
Bekas Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu berkata PH perlu bersedia berdepan BN secara langsung walaupun berdepan risiko kekalahan.
“Lebih baik kita kalah dalam pilihan raya dengan maruah dan kehormatan daripada terkhianati di tangan UMNO. Biar putih tulang, jangan putih mata,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengakui PH sedang berdepan persepsi negatif dalam kalangan pengundi meskipun kerajaan mempunyai beberapa pencapaian terutama dalam sektor ekonomi.
Langkah BN Johor itu dilihat mengingatkan kepada strategi gabungan berkenaan ketika PRN Melaka dan Johor pada 2021 dan 2022 yang menyaksikan mereka menang besar melalui pertandingan pelbagai penjuru serta kadar keluar mengundi rendah.
Namun, momentum tersebut gagal diterjemahkan pada Pilihan Raya Umum 2022 apabila BN tewas teruk di banyak kawasan Parlimen termasuk di Melaka.
Keputusan BN bergerak solo di Johor juga dilihat menambah ketegangan hubungan dengan PH selepas gabungan itu sebelum ini menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.
Mat Sabu hanya suarakan pandangan, bukan sindir sesiapa: Anwar
Pemuda MCA bidas DAPSY, dakwa tidak faham struktur pentadbiran FELDA
Bersatu nafi bantah kemasukan Pejuang ke PN, bantah kemasukan PCM: Hilman
Tun Faisal dakwa Hamzah punca keretakan PN, PAS campur urusan dalaman Bersatu
Parti Rafizi terlalu taksub kritik kerajaan, tiada formula bantu rakyat: AMK
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar