Rodziah antara pemimpin PKR yang hadir ke program bersama Rafizi pada hujung minggu baru-baru ini.
Tekanan terhadap Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail semakin memuncak apabila beliau didesak mengosongkan kerusinya susulan dakwaan tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan utama PKR.
Timbalan Ketua Cabang PKR Ampang, Daing Muhammad Redzuan Bachok berkata tindakan Rodziah yang dilihat semakin menjauh daripada pendirian parti sejak kebelakangan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli dan penyokong di peringkat akar umbi.
Menurutnya, sebarang tindakan yang boleh menggugat kesatuan parti serta melemahkan keyakinan rakyat terhadap perjuangan reformasi tidak boleh diterima.
“PKR Cabang Ampang tidak akan sesekali tunduk kepada pengkhianatan politik. Kami akan terus mempertahankan parti, Presiden Anwar Ibrahim dan mandat rakyat daripada mana-mana pihak yang cuba merosakkan perjuangan reformasi demi kepentingan politik peribadi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut mendakwa tindakan Rodziah hanya menguatkan persepsi wujud usaha melemahkan perjuangan parti dari dalam.
Katanya, akar umbi PKR Ampang kekal bersama Presiden PKR, Anwar dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana tindakan yang boleh menggugat kestabilan parti.
“Rakyat Ampang memberikan mandat kepada PKR dan Pakatan Harapan bukan untuk melihat parti dirosakkan oleh permainan politik dalaman atau percaturan kelompok tertentu,” katanya lagi.
Kontroversi itu tercetus selepas Rodziah dilihat hadir dalam majlis pengumuman hala tuju politik bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli dan bekas naib presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Untuk rekod, Rodziah merupakan antara pemimpin lama PKR yang aktif sejak era awal reformasi dan pernah memegang beberapa jawatan penting dalam kerajaan serta parti.
Beliau juga mempertahankan kerusi Parlimen Ampang pada Pilihan Raya Umum ke-15 di bawah tiket Pakatan Harapan.
Samsuri tandatangan watikah hanya selepas rundingan PAS-BN gagal: Marzuki
BN kekal solo, tak layan kerjasama dengan PAS atau Wawasan: Zahid
172 calon rebut 56 kerusi DUN Johor, saingan lima penjuru di tiga kerusi: SPR
Kempen PRN dipantau 24 jam, orang ramai diminta bantu bendung berita palsu: Fahmi
Calon ‘underdog’ PH lawan Onn Hafiz sedia beri saingan sengit di DUN Machap
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar