Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.
Parlimen akan diberi kebebasan sepenuhnya untuk menilai, membahaskan dan mengemukakan syor terhadap calon Pendakwa Raya yang disenaraikan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) sebelum pelantikan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) yang bakal diwujudkan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 akan mempunyai ruang untuk meneliti senarai calon tanpa campur tangan pihak Eksekutif.
Menurut beliau, Parlimen berhak menentukan sendiri kaedah penelitian terhadap calon, termasuk mengadakan perbahasan, sesi pemeriksaan, pengundian atau mengumumkan keputusan kepada umum.
“JKPK yang diwujudkan Parlimen boleh membincangkan nama-nama yang disenaraikan SPKP dan memberikan semula pandangannya sebelum senarai itu dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Jika Parlimen mahu membuat perbahasan, berbincang, mengadakan pengundian atau mengumumkan keputusan, itu semua hak Parlimen. Eksekutif tidak akan mengajar Parlimen bagaimana hendak menjalankan tanggungjawabnya,” katanya pada taklimat media mengenai agenda reformasi institusi di Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan beberapa Ahli Parlimen yang menyatakan Parlimen tidak diberikan peranan mencukupi dalam proses pelantikan Pendakwa Raya.
Azalina menjelaskan mengikut Perlembagaan Persekutuan, Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk membuat pelantikan, sebaliknya hanya menggubal undang-undang. Namun, melalui reformasi yang dicadangkan kerajaan, Parlimen diberi kuasa menyemak dan menilai calon yang dikemukakan SPKP.
“Menuduh kerajaan tidak memberi peluang kepada Parlimen memainkan peranan adalah tidak adil kerana cara Parlimen mahu menjalankan pemantauan atau pemeriksaan terhadap calon adalah tertakluk kepada peraturan Parlimen sendiri,” katanya.
Beliau turut memaklumkan maklum balas daripada blok pembangkang terhadap pindaan RUU itu adalah positif selepas pertemuan dengan Ketua Pembangkang dan Ketua Whip Perikatan Nasional, khususnya kerana pelantikan Pendakwa Raya tidak lagi membabitkan Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.
“Jika blok pembangkang bersetuju, saya agak terkilan jika wakil rakyat daripada blok kerajaan pula tidak bersetuju. Jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Ini isu rakyat, bukan soal kepentingan mana-mana individu,” katanya.
RUU berkenaan bagaimanapun hanya boleh diluluskan sekiranya memperoleh sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.
Sebelum ini, tujuh Ahli Parlimen PKR menggesa proses saringan Parlimen yang lebih ketat dimasukkan dalam pindaan RUU tersebut kerana berpendapat draf sedia ada masih belum memperkukuhkan peranan Parlimen dalam pelantikan Pendakwa Raya.
RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 23 Februari lalu sebelum dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen selepas bacaan kali kedua bagi diperhalusi.
Antara cadangan utama pindaan itu ialah memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya, dengan pelantikan Pendakwa Raya dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat SPKP tanpa penglibatan Perdana Menteri atau Kabinet.
Malaysia terus kukuh antara negara paling aman dunia
IPTA terima kemasukan pelajar berdasarkan merit, tiada pintu belakang: Adam Adli
Kuota 200 liter RON95 cukup untuk hampir semua pengguna: Amir Hamzah
Ahli NGO didakwa cuci wang hampir RM18 juta, beli banglo dan kenderaan mewah
Kos sara hidup lebih terkawal, inflasi turun empat tahun berturut-turut: Armizan
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar