PAS didakwa dalang pecah belah Bersatu demi kuasai PN

May 26, 2026 · Politik

Krisis dalaman Parti Bersatu kini dilihat memasuki fasa lebih serius apabila muncul dakwaan PAS merupakan dalang sebenar di belakang gerakan politik untuk melemahkan parti itu demi menguasai sepenuhnya Perikatan Nasional (PN).

Dakwaan itu timbul selepas kemelut melibatkan Hamzah Zainudin dan kumpulan dikenali sebagai RESET gagal mengambil alih kepimpinan Bersatu dari dalam parti tersebut.

Sumber politik mendakwa, PAS pada awalnya dipercayai menyokong gerakan senyap bagi meletakkan Hamzah sebagai Presiden Bersatu kerana melihat beliau lebih mudah bekerjasama dengan parti itu berbanding Muhyiddin Yassin.

“PAS dipercayai mahu membentuk semula struktur kuasa dalam PN dengan menjadikan Hamzah sebagai tokoh utama Bersatu.

“Tetapi rancangan itu gagal apabila majoriti kepimpinan dan akar umbi Bersatu memilih untuk terus mempertahankan Muhyiddin,” kata seorang pemerhati politik.

Kemelut itu bermula apabila gerakan RESET dikaitkan dengan usaha menyusun semula kepimpinan Bersatu selepas parti itu berdepan tekanan politik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun, tindakan kepimpinan Bersatu memecat beberapa tokoh yang dikaitkan dengan kumpulan tersebut berjaya menggagalkan usaha menggugat struktur dalaman parti.

Namun begitu, beberapa pihak percaya kegagalan itu menyebabkan PAS menukar strategi politik mereka.

Menurut sumber, PAS kini didakwa mula menyusun langkah untuk mengurangkan pengaruh Bersatu dalam PN selepas melihat kumpulan RESET masih memiliki kekuatan kewangan, pengaruh akar umbi dan jaringan politik tersendiri.

“Apabila usaha mengambil alih Bersatu gagal, muncul pula gerakan untuk melemahkan Bersatu dari luar.

“PAS sekarang berada di posisi paling kuat dalam PN dan mereka sedar Bersatu yang lemah akan memberi lebih banyak ruang untuk PAS menguasai gabungan itu,” katanya.

Perubahan sikap PAS juga dikatakan semakin ketara apabila pimpinan parti itu mula bercakap mengenai penstrukturan semula PN serta keperluan menilai semula hubungan politik menjelang PRU16.

Malah, beberapa pimpinan PAS dilihat mengambil pendekatan berhati-hati terhadap Hamzah dan kumpulan RESET walaupun mereka sudah disingkirkan daripada Bersatu.

Situasi itu menguatkan persepsi PAS masih mahu mengekalkan hubungan baik dengan kem tersebut sebagai persediaan menghadapi kemungkinan penjajaran politik baharu pada masa depan.

Pemerhati politik turut berpendapat PAS kini semakin yakin mereka tidak lagi memerlukan Bersatu sebagai tunjang utama PN kerana parti Islam itu sudah muncul sebagai kuasa dominan pembangkang Melayu.

“Politik sekarang bukan lagi soal setia kawan dalam gabungan.

“Ia soal siapa paling kuat untuk menentukan hala tuju PN menjelang pilihan raya akan datang,” kata seorang lagi sumber.

Walaupun tiada bukti terbuka menunjukkan PAS secara rasmi merancang menjatuhkan Bersatu, perkembangan semasa terus menguatkan tanggapan parti itu sedang memainkan peranan besar di sebalik krisis yang melanda sekutunya sendiri.

Berita berkaitan
PAS didakwa guna Hamzah lemahkan Bersatu: Puad
May 26, 2026· Politik
Hina sahabat Nabi: Amanah persoal kenapa PAS tak pecat Zawawi
22 jam lalu· Politik
PAS pertimbang putuskan hubungan dengan Bersatu: Laporan
May 25, 2026· Politik
Bersatu jawab kritikan PAS, tegaskan semua isu patut dibincang dalam gabungan
May 24, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
AMK desak Rafizi jelaskan dakwaan dana RM8.6 juta ambil alih Parti Bersama
May 26, 2026 · Politik
PKR susun semula jentera pilihan raya, Amiruddin dilantik pengarah bersama
May 26, 2026 · Politik
Tukar MB Perlis tak perlu undi tak percaya, luar dewan pun boleh buat: Sanusi
21 jam lalu · Politik
PKR Shah Alam dakwa hanya tiga AJK keluar parti, masih utuh
23 jam lalu · Politik
21 pemimpin cabang PKR Shah Alam umum keluar parti
May 25, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
May 17, 2026
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
May 12, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok