37 sesi libat urus dijalankan MCMC bagi perkukuh keselamatan dalam talian

May 26, 2026 · Isu semasa

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengadakan sebanyak 37 sesi libat urus bersama platform media sosial dan pelbagai pihak berkepentingan dalam tempoh enam bulan lalu bagi memperkukuh keselamatan dalam talian, khususnya melibatkan perlindungan kanak-kanak.

Langkah itu dilaksanakan susulan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari lalu bagi menangani peningkatan kandungan memudaratkan di media sosial termasuk bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM), buli siber dan penipuan dalam talian.

MCMC dalam kenyataannya berkata, sesi libat urus berkenaan memberi fokus kepada pelaksanaan langkah pengesahan umur, kawalan ibu bapa, perlindungan akaun pengguna serta tanggungjawab platform media sosial dalam mengawal kandungan berisiko.

“Usaha berterusan ini bertujuan memperkukuh keselamatan pengguna dalam talian serta memastikan platform digital lebih bertanggungjawab dalam menangani kandungan memudaratkan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut MCMC, daripada 37 sesi yang dijalankan, enam diadakan sebelum ONSA dikuatkuasakan manakala baki 31 sesi berlangsung selepas akta itu dilaksanakan, termasuk menerusi inisiatif Regulatory Sandbox yang memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan pengesahan umur pengguna.

Akta ONSA diperkenalkan kerajaan sebagai langkah baharu memperkukuh kawal selia platform digital selepas kebimbangan meningkat terhadap keselamatan pengguna muda di media sosial.

Akta itu berjalan seiring dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), termasuk menetapkan syarat umur minimum 16 tahun bagi pemilikan akaun media sosial.

MCMC berkata, pendekatan itu juga bertujuan memastikan pengalaman dalam talian yang lebih selamat dan sesuai mengikut umur, selain menggalakkan pengawasan ibu bapa serta reka bentuk platform yang lebih bertanggungjawab.

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan, MCMC turut mengadakan lawatan kerja dan perbincangan teknikal di Singapura bersama beberapa penyedia platform utama.

Delegasi itu disertai wakil Kementerian Komunikasi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

“Perbincangan memberi fokus kepada pencegahan jenayah siber, akauntabiliti platform, pengesahan umur dan moderasi kandungan memudaratkan,” katanya.

MCMC turut memaklumkan inisiatif Regulatory Sandbox yang bermula Januari lalu melibatkan kerjasama agensi kerajaan, platform media sosial dan pihak pengesah ketiga bagi menilai kaedah pelaksanaan pengesahan umur yang lebih berkesan.

Sejak November tahun lalu, pelbagai siri libat urus telah dijalankan melibatkan pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), akademia serta organisasi antarabangsa bagi mendapatkan pandangan berkaitan pelaksanaan instrumen subsidiari di bawah ONSA.

Menurut MCMC, sesi berkenaan penting bagi memastikan langkah yang diperkenalkan bersifat praktikal, seimbang dan mampu dilaksanakan oleh semua pihak sebelum penguatkuasaan penuh dilakukan.

Berita berkaitan
Kerajaan perketat kawalan platform e-dagang, terima aduan pengguna banyak: Fahmi
24 jam lalu· Isu semasa
Kes scam: Ingat arahan bos, kerani pindah RM452,000
August 26, 2026· Isu semasa
Lebih 1,500 warga Papar sertai kempen Internet Selamat
August 22, 2026· Isu semasa
Ancaman scam makin membimbangkan, 5,944 laporan dalam empat bulan: Nie Ching
August 22, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Banjir Nepal: Kerajaan giat kesan 54 rakyat Malaysia
4 jam lalu · Isu semasa
SPRM reman bekas Pengerusi dan KSP berkait RCI TH
4 jam lalu · Isu semasa
Harga petrol tanpa subsidi naik 5 sen
16 jam lalu · Isu semasa
Dua pembantu Najib diperintah bayar RM483,000 kepada pendakwah bebas
20 jam lalu · Isu semasa
RCI Tabung Haji: SPRM tahan bekas pengerusi TH, bekas KSU Perbendaharaan
20 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
August 16, 2026
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok