Penasihat DAP, Lim Guan Eng.
Mahkamah Rayuan menetapkan 18 Jun ini untuk mendengar rayuan Muhyiddin Yassin terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar RM1.35 juta kepada Lim Guan Eng dalam kes saman fitnah berkaitan isu pengecualian cukai Yayasan Albukhary.
Peguam plaintif, Guok Ngek Seong mengesahkan tarikh pendengaran itu, menurut laporan dipetik media.
Menurutnya, mahkamah turut akan mendengar rayuan balas yang difailkan Guan Eng berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak memberikan faedah penghakiman dalam kes tersebut.
“Mahkamah Rayuan akan mendengar kedua-dua rayuan secara bersama pada 18 Jun,” katanya.
Beliau berkata, prosiding pengurusan kes bagi rayuan Muhyiddin dikendalikan di hadapan Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Rayuan, Nuur Fatimahtul Zuhra Khairuddin, manakala rayuan balas Guan Eng didengar oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rayuan, Norkamilah Aziz.
Pada November tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan tiga kenyataan yang dibuat Muhyiddin pada Mac 2023 adalah bersifat fitnah terhadap Guan.
Mahkamah kemudian mengarahkan bekas perdana menteri itu membayar RM1.05 juta sebagai ganti rugi am, selain RM150,000 bagi ganti rugi teruk dan RM150,000 lagi sebagai ganti rugi teladan, menjadikan jumlah keseluruhan RM1.35 juta.
Hakim Roz Mawar Rozain turut memerintahkan Muhyiddin menarik balik kenyataan berkenaan daripada semua akaun media sosialnya serta mengeluarkan perintah injunksi bagi menghalangnya daripada mengulangi dakwaan sama pada masa hadapan.
Kes itu berpunca daripada kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada 9, 11 dan 12 Mac 2023 yang didakwa mengaitkan Guan Eng dengan keputusan pembatalan pengecualian cukai membabitkan Yayasan Albukhary.
Kenyataan tersebut kemudiannya dilaporkan oleh beberapa akhbar dan portal berita tempatan.
Pada 27 Mac 2023, Guan ENg memfailkan saman fitnah terhadap Muhyiddin dengan mendakwa kenyataan berkenaan telah mencemarkan reputasi dan kredibilitinya.
Aminuddin sahkan pembubaran DUN Negeri Sembilan bermula esok, satu lagi PRN
Pemuda PAS rayu UMNO Johor pertimbang hasrat bertanding solo, mahu bekerjasama
Muafakat Nasional 2.0: Isyarat PAS mencari jalan keluar daripada PN tinggalkan Bersatu?
Islam bukan milik mana-mana parti, Mahfuz bidas pemikiran sempit PAS
MCA Johor nafikan senarai calon PRN tular
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi