DAP tangguh konvensyen kebangsaan, fokus PRN Johor dan Negeri Sembilan

17 jam lalu · Politik

DAP memutuskan untuk menangguhkan Konvensyen Kebangsaan parti itu yang sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 12 Julai kepada 16 Ogos bagi memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti yang berlangsung malam tadi selepas mengambil kira pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan.

Menurut beliau, tumpuan utama parti ketika ini adalah memastikan jentera pilihan raya bersedia sepenuhnya bagi menghadapi kedua-dua PRN berkenaan.

“DAP juga akan mempertahankan semua kerusi yang disandang di Johor dan Negeri Sembilan, selain bertanding di beberapa kerusi tambahan di Johor, tertakluk kepada keputusan rundingan secara muktamad dengan parti-parti komponen Pakatan Harapan menjelang hujung minggu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Loke berkata proses pemilihan calon yang akan mewakili DAP dalam kedua-dua pilihan raya negeri itu akan ditentukan oleh jawatankuasa pemilihan calon parti.

Jawatankuasa tersebut turut dianggotai Pengerusi DAP Kebangsaan Gobind Singh Deo, Timbalan Pengerusi Kebangsaan Nga Kor Ming, Ketua Wanita Kebangsaan Teo Nie Ching dan Ketua Parlimen DAP Chong Chieng Jen.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan menegaskan DAP akan menggerakkan seluruh kekuatan parti bagi memastikan kemenangan Pakatan Harapan dalam kedua-dua negeri tersebut.

“Kami akan berkempen bersungguh-sungguh dalam kedua-dua PRN ini bagi memastikan kemenangan Pakatan Harapan,” katanya.

Pembubaran DUN Johor dan Negeri Sembilan membuka laluan kepada pilihan raya negeri yang dijangka menjadi medan penting mengukur sokongan rakyat terhadap kerajaan perpaduan selepas beberapa siri pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri sebelum ini.

Pada 1 Jun lalu, Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Langkah itu diikuti Negeri Sembilan apabila Menteri Besarnya, Aminuddin Harun, mengumumkan pembubaran rasmi DUN negeri berkenaan yang mempunyai 36 kerusi selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Berita berkaitan
Rundingan kerjasama BN-PH di Negeri Sembilan masih terbuka: Zahid
8 jam lalu· Politik
Tuanku Muhriz masih sah sebagai Yang di-Pertuan Besar: PMX
12 jam lalu· Isu semasa
Bubar DUN Negeri Sembilan jalan terbaik tamatkan ketidaktentuan: Anwar
12 jam lalu· Politik
Tarif air Pulau Pinang naik mulai Julai
13 jam lalu· Isu semasa
Lagi Politik terkini
Pertemuan dengan PAS bagi pastikan Kerajaan Perpaduan kekal hingga tamat penggal: Zahid
8 jam lalu · Politik
Kerajaan Perpaduan kekal kukuh walaupun BN dan PH bertanding berasingan: Fahmi
11 jam lalu · Politik
MB Perlis lega spekulasi undi tidak percaya berakhir
13 jam lalu · Politik
Mahkamah benarkan permohonan Najib akses dokumen kes 1MDB
13 jam lalu · Politik
Notis pembubaran DUN Negeri Sembilan diserah kepada SPR hari ini
13 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
May 17, 2026
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
May 12, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok