Tunku Nadzaruddin ditabal Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12

June 5, 2026 · Isu semasa

Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar hari ini ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah resort di sini.

Pengisytiharan pertabalan dibuat oleh Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad, yang mewakili Undang Yang Empat.

“Bahawasanya selaras dengan Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, kami Undang Yang Empat dengan kuasa yang ada pada kami memilih dan memasyhurkan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12, berkuat kuasa serta-merta,” katanya ketika majlis pengisytiharan.

Dalam ucapan penerimaannya, Tunku Nadzaruddin merakamkan penghargaan kepada pemimpin adat yang terlibat dalam pemilihannya.

“Beta menjunjung kasih kepada Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin serta Datuk Syahbandar Sungai Ujong atas pemilihan dan pemasyhuran beta sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12,” titah baginda.

Majlis ringkas itu kemudian diteruskan dengan bacaan doa dan laungan “Daulat Tuanku” oleh hadirin yang hadir.

Turut kelihatan pada majlis berkenaan ialah tokoh politik veteran dan pengkaji Adat Perpatih, Rais Yatim.

Pertabalan tersebut berlaku di tengah-tengah krisis perlembagaan dan adat yang tercetus sejak April lalu apabila empat Undang, termasuk Mubarak Dohak yang mendakwa dirinya sebagai Undang Luak Sungai Ujong, mengumumkan pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan menamakan Tunku Nadzaruddin sebagai pengganti.

Bagaimanapun, kerajaan negeri menolak tindakan itu.

Menteri Besar Aminuddin Harun sebelum ini menegaskan pengisytiharan berkenaan tidak sah dan tidak diiktiraf kerana status Mubarak sebagai Undang Luak Sungai Ujong masih dipertikaikan serta tidak mempunyai kuasa yang sah untuk membuat keputusan tersebut.

Sementara itu, beberapa jam sebelum majlis pertabalan berlangsung, berlaku kekecohan di Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin apabila dua Undang dilaporkan dihalang polis daripada memasuki premis berkenaan.

Insiden yang berlaku sekitar jam 9 pagi itu melibatkan Undang Luak Johol dan Undang Luak Jelebu yang hadir untuk menghadiri sidang khas bersama pemimpin adat negeri bagi membincangkan penyelesaian kemelut diraja yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

Keadaan kembali reda selepas Tunku Besar Tampin, Syed Razman Syed Idrus, berunding dengan pihak polis.

Menurut beliau, arahan telah diberikan supaya Undang terbabit dibenarkan memasuki kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, pertemuan itu terpaksa dipendekkan berikutan ketiadaan Tunku Nadzaruddin sebelum lokasi perjumpaan dipindahkan ke resort tempat berlangsungnya majlis pertabalan.

Perkembangan terbaharu itu dilihat bakal menambah lagi ketegangan dalam pertikaian takhta Negeri Sembilan yang sehingga kini masih belum menemui penyelesaian muktamad.

Berita berkaitan
Projek30% puji langkah PKR ketengah calon wanita di PRN Melaka, cadang kuota diwajibkan
October 30, 2026· Politik
PRN Melaka: SPRM buka bilik gerakan 24 jam, orang ramai boleh buat aduan
October 30, 2026· Isu semasa
PRN Melaka: 189 borang penamaan calon dibeli, 45 calon bayar deposit
4 jam lalu· Politik
PAS dakwa pihak lawan gerun penyatuan dengan BN, yakin menang Melaka
6 jam lalu· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Dana Inovasi Media 2.0 diteruskan, lima skop pembiayaan ditawar: Fahmi
October 30, 2026 · Isu semasa
MAPIM gesa tindakan tegas terhadap kempen kebencian susulan serangan di Kulai
October 30, 2026 · Isu semasa
MCMC menang tuntutan RM15.32 juta terhadap MajuBina
October 30, 2026 · Isu semasa
Dewan Rakyat lulus Belanjawan 2027, perbahasan masuk fasa kedua
6 jam lalu · Isu semasa
Kempen Internet Selamat fokus penguatkuasaan keselamatan digital: Fahmi
October 29, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok