Tuan Ibrahim Tuan Man.
PAS mendakwa pihak lawan kini bimbang dengan penyatuan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) kerana kerjasama itu mampu mengubah landskap politik serta membuka laluan kepada kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penyatuan ummah yang diperkasakan menerusi kerjasama politik itu mendapat sokongan masyarakat dan diyakini mampu mewujudkan suasana politik baharu.
Menurutnya, kekuatan gabungan parti serta jentera yang digerakkan dari seluruh negara menjadi antara faktor yang boleh membantu PN mencapai kemenangan dalam pilihan raya berkenaan.
“Rata-rata masyarakat kita sangat mengharapkan penyatuan ummah ini akan terus diperkasakan hingga kita mampu membentuk suasana baharu politik kita dengan penyatuan ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PN bagi PRN Melaka di Dewan Muallim Haji Abdul Wahid, Bukit Katil, malam Khamis.
Tuan Ibrahim turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan PN dan semua parti komponennya yang menggerakkan jentera bagi memastikan kemenangan gabungan itu.
“Insya-ALLAH, dengan kekuatan yang kita ada dan gabungan jentera seluruh negara, saya mengambil kesempatan awal untuk mengucapkan terima kasih kepada seluruh saf kepimpinan PN serta semua parti komponen yang menggerakkan jenteranya untuk memastikan kemenangan kita dalam PRN ini,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan jentera parti supaya tidak terperangkap dengan isu remeh-temeh sepanjang tempoh berkempen, sebaliknya memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuh sokongan rakyat terhadap calon yang diketengahkan.
Beliau turut memberi amaran mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pelbagai platform media untuk menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan keraguan dalam kalangan penyokong.
“Kita tahu cabaran AI sangat besar hari ini. Pelbagai media akan digunakan dalam bentuk macam-macam.
“Tujuannya untuk menimbulkan keraguan dalam kalangan penyokong parti, mempertikaikan keputusan, mempertikaikan calon, korek rahsia dan cari apa yang tiada sekali pun untuk memburukkan calon-calon kita,” katanya.
Sehubungan itu, Tuan Ibrahim meminta ahli parti menerima keputusan kepimpinan berhubung pemilihan calon dan tidak membiarkan perbezaan pandangan dalaman menjejaskan persiapan menghadapi pilihan raya.
Beliau berkata calon yang dipilih sudah melalui proses tapisan, termasuk di peringkat Majlis Syura Ulama, sekali gus perlu diberikan sokongan penuh oleh seluruh jentera parti.
“PAS memang terkenal sebagai parti yang ahlinya taat dan patuh kepada keputusan parti. Bila parti sudah buat keputusan, suka atau tak suka kena taat, patuh, selagi mana tidak diarah kepada perkara maksiat,” katanya.
PRN Melaka menjadi medan penting buat PN untuk menguji kekuatan sokongan rakyat, khususnya dalam persaingan dengan PH dan BN yang turut mempunyai pengaruh politik di negeri itu.
CSA perkukuh kestabilan politik negara: Zaliha
Sanusi bangga cakap Inggeris dialek Sik masih boleh jadi MB Kedah
Taufiq sambut baik CSA Kerajaan MADANI, ketengah budaya politik matang: Taufiq
Syed Saddiq tandatangan CSA, mahu reformasi segera sebelum PRU
CSA perkukuh kestabilan, buka ruang reformasi: PKR
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum