Projek30% puji langkah PKR ketengah calon wanita di PRN Melaka, cadang kuota diwajibkan

October 30, 2026 · Politik

Kempen Projek30% menggesa kerajaan segera menggubal Akta Kesaksamaan Gender dalam Perwakilan Politik bagi memastikan sasaran minimum 30 peratus calon wanita dalam pilihan raya menjadi satu kewajipan undang-undang, bukan sekadar janji parti politik.

Desakan itu dibuat susulan keputusan PKR untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang, yang disifatkan sebagai langkah positif ke arah memperluas penyertaan wanita dalam kepimpinan politik.

Bagaimanapun, Projek30% berpandangan komitmen itu perlu diterjemahkan kepada dasar yang lebih menyeluruh kerana tahap perwakilan wanita masih tidak seimbang antara parti politik dan negeri.

“Walaupun perkembangan ini positif, komitmen terhadap sasaran 30 peratus masih tidak sekata dalam kalangan parti politik dan negeri,” menurut kenyataan kempen itu pada Jumaat.

Projek30% turut membangkitkan kebimbangan terhadap kemerosotan perwakilan wanita dalam tiga pilihan raya negeri sebelum ini, iaitu Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.

Menurut kempen itu, penggubalan Akta Projek30% penting untuk mewujudkan kerangka undang-undang yang jelas dan berterusan, selain menangani halangan struktur serta budaya yang mengehadkan peluang wanita untuk menjadi calon dan menduduki jawatan kepimpinan.

Isu tersebut turut mendapat perhatian beberapa parti politik. Pada PRN Johor, DAP meletakkan lapan calon wanita, bersamaan 47 peratus daripada keseluruhan calonnya, manakala Amanah menyokong cadangan undang-undang yang menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus perwakilan wanita dalam kalangan calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Gesaan meningkatkan penyertaan wanita juga dibangkitkan dalam perbahasan di Parlimen. Ahli Parlimen Sri Aman, Doris Brodi, sebelum ini menggesa sasaran 30 peratus calon wanita dijadikan kewajipan melalui undang-undang.

Dalam perkembangan berkaitan, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada 22 Jun lalu mencadangkan Rang Undang-Undang Kesaksamaan Gender dalam Perwakilan Politik serta menggesa beberapa agensi kerajaan mengadakan rundingan dengan pihak berkepentingan bagi melaksanakan sasaran minimum berkenaan.

Selain itu juga, pertubuhan masyarakat sivil di bawah Projek30% turut menyerahkan memorandum dan cadangan Akta Projek30% kepada kerajaan.

Projek30% menjelaskan cadangan undang-undang yang disediakan pihaknya merangkumi mekanisme pelaporan, pemantauan serta insentif kewangan bagi menangani kekurangan perwakilan wanita dalam politik.

Kempen itu menegaskan wanita mempunyai pengalaman dan kemampuan untuk memimpin, namun masih berdepan kesukaran mendapatkan peluang sebagai calon serta ruang dalam proses membuat keputusan parti.

“Wanita tidak sepatutnya terpaksa berjuang lebih keras secara tidak seimbang untuk mendapatkan pencalonan, bertanding dalam pilihan raya dan mencapai kedudukan kepimpinan politik,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, Projek30% menggesa kerajaan mengambil tindakan segera supaya kerangka undang-undang berkenaan dapat diwujudkan sebelum Pilihan Raya Umum akan datang.

Kempen tersebut turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi merealisasikan cadangan itu, yang disokong penyelidikan dan bukti berkaitan keperluan meningkatkan penyertaan wanita dalam politik negara.

Projek30% merupakan inisiatif masyarakat sivil yang diselaraskan oleh EMPOWER, Association of Women Lawyers (AWL) dan Penang Women’s Development Corporation (PWDC), dengan sokongan beberapa organisasi lain termasuk Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) serta Joint Action Group for Gender Equality (JAG).

Berita berkaitan
PRN Melaka: SPRM buka bilik gerakan 24 jam, orang ramai boleh buat aduan
October 30, 2026· Isu semasa
PRN Melaka: 189 borang penamaan calon dibeli, 45 calon bayar deposit
4 jam lalu· Politik
PAS dakwa pihak lawan gerun penyatuan dengan BN, yakin menang Melaka
6 jam lalu· Politik
PRN Melaka: Bersatu umum lapan calon, empat kerusi bertindih dengan PH
6 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
Tiada syarat khusus untuk Ahli Parlimen meterai CSA : PMX
October 30, 2026 · Politik
CSA bukan tanda Bersatu sertai kerajaan, kekal pembangkang: Tun Faisal
October 30, 2026 · Politik
Zaid Ibrahim puji langkah bijak Bersatu, Syed Saddiq tandatangan CSA dengan kerajaan
4 jam lalu · Politik
CSA perkukuh kestabilan politik negara: Zaliha
6 jam lalu · Politik
CSA jadi landasan kerjasama politik demi rakyat: PMX
21 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok