Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan.
Malaysia masih mempunyai bekalan minyak yang mencukupi walaupun konflik yang berlarutan di Asia Barat terus memberi tekanan kepada rantaian bekalan tenaga global dan mencetuskan kebimbangan mengenai kestabilan pasaran minyak dunia.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan memberi keutamaan kepada usaha memastikan bekalan bahan api dalam negara kekal stabil bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada rakyat dan aktiviti perniagaan.
Menurut beliau, setakat ini tiada tanda-tanda kekurangan bekalan minyak di negara ini dan pengguna masih boleh mendapatkan bahan api seperti biasa tanpa sebarang sekatan.
“Kita telah berjaya memastikan bekalan yang ada mencukupi dan konsisten dalam negara. Bila tidak ada kekurangan bekalan, rakyat tidak perlu risau untuk mengisi minyak dan peniaga juga boleh terus mendapatkan bekalan diperlukan untuk menjalankan perniagaan mereka,” katanya selepas mengadakan lawatan dan beramah mesra bersama peniaga di Pasar Tani Kelana Jaya hari ini.
Amir Hamzah menjelaskan kestabilan bekalan tersebut dicapai menerusi kerjasama pelbagai pihak termasuk syarikat tenaga negara yang terus berusaha mendapatkan sumber bekalan baharu bagi memenuhi keperluan domestik.
Pada masa sama, beliau berkata kerajaan terus berusaha mengurangkan kesan kenaikan harga tenaga global terhadap rakyat melalui pelaksanaan subsidi bersasar, termasuk mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada kadar RM1.99 seliter.
“Kita mahu mengurangkan beban rakyat, oleh sebab itu RON95 masih dijual pada harga yang jauh lebih rendah berbanding harga pasaran di banyak negara lain,” katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan kerajaan sedang memperkukuhkan strategi keselamatan tenaga negara dengan mempelbagaikan sumber bekalan bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu pasaran atau negara tertentu.
Menurutnya, langkah itu penting sebagai sebahagian daripada pengurusan risiko sekiranya berlaku gangguan bekalan akibat konflik, bencana atau ketidaktentuan geopolitik.
“Kita tidak mahu bergantung kepada satu sumber sahaja. Jika ada masalah di satu kawasan, kita masih mempunyai pilihan bekalan daripada sumber lain.
“Itu antara strategi yang sedang diperkukuhkan bagi memastikan bekalan tenaga negara terus stabil,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Amir Hamzah mengakui konflik di Timur Tengah berpotensi memberi kesan kepada kos pengeluaran dan harga beberapa produk tertentu.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan impak terhadap rakyat serta sektor industri.
Parlimen: 1,588 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana dadah
Shuhaily kembali ke PDRM, jawatan Ketua Pengarah AKPS kosong: Saifuddin Nasution
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum