Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan.
Ekonomi Malaysia kembali rancak dengan sokongan kestabilan politik, dasar kerajaan yang jelas dan pembaharuan berterusan, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap prospek pertumbuhan negara.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata, pendekatan itu membantu Malaysia menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang kukuh meskipun ekonomi global berdepan ketegangan geopolitik dan gangguan perdagangan antarabangsa.
Beliau berkata, Malaysia mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 5.2 peratus sepanjang dua tahun lalu, manakala pertumbuhan meningkat kepada 5.7 peratus pada suku terkini tahun ini.
Menurutnya, pencapaian itu mencerminkan daya tahan industri tempatan serta kedudukan Malaysia yang terus memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global.
“Mesej paling utama yang ingin disampaikan Malaysia ialah ekonomi kita kini kembali rancak,” katanya kepada Bernama di luar Mesyuarat Tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia di Bangkok.
Amir Hamzah mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kebangsaan Queen Sirikit dari 12 hingga 18 Oktober lalu.
Beliau berkata, kerajaan turut memperkukuh disiplin fiskal dan tadbir urus menerusi pelaksanaan pembaharuan institusi, termasuk Akta Tanggungjawab Fiskal dan Akta Perolehan Kerajaan.
Katanya, langkah perundangan berkaitan subsidi serta perusahaan berkaitan kerajaan turut dirancang bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan kewangan negara.
“Pembaharuan ini penting bagi meyakinkan pelabur bahawa dasar dan institusi Malaysia semakin kukuh dan mampan, sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap prospek ekonomi negara,” katanya.
Keyakinan pelabur turut dicerminkan menerusi penerbitan sukuk global Malaysia bernilai AS$1.5 bilion baru-baru ini yang menerima lebihan langganan sebanyak 4.7 kali ganda serta memperoleh harga yang kompetitif.
Dalam masa sama, kerajaan mahu memastikan pertumbuhan ekonomi dan kemasukan pelaburan memberikan manfaat langsung kepada rakyat menerusi peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan bernilai tinggi, pembangunan kemahiran serta penyertaan lebih besar syarikat tempatan dalam rantaian bekalan.
Amir Hamzah berkata, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan juga menjadi antara tumpuan kerajaan untuk meningkatkan produktiviti, memodenkan perkhidmatan awam dan membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Beliau turut menegaskan pelaburan baharu, khususnya dalam sektor pusat data, perlu memberikan limpahan ekonomi lebih besar kepada perniagaan tempatan dan rakyat.
“Dunia melihat sendiri perkara ini, malah sangat kagum Malaysia mampu melakukan semua ini, yang bermaksud pelaburan langsung asing masuk dengan begitu kukuh,” katanya.
Mesyuarat tahunan IMF dan Bank Dunia itu menjadi platform penting bagi Malaysia memperkukuh hubungan ekonomi antarabangsa, menarik minat pelabur serta menilai perkembangan global untuk mempercepat pembaharuan domestik.
Kerajaan menyasarkan pembinaan ekonomi berpendapatan tinggi yang lebih mampan dengan memastikan hasil pertumbuhan dapat dinikmati secara lebih meluas oleh rakyat, termasuk generasi akan datang.
Polis Negeri Sembilan siasat dua kes hina institusi diraja, lelaki ditahan
Jangan tular video insiden sekolah: MCMC
Data 7.7 juta pengguna Waze didakwa dijual di dark web
Super El Nino dijangka berlarutan hingga Januari 2027
Jerebu: Malaysia tuntut Indonesia bertindak, bawa isu ke ASEAN
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum