Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Kadar inflasi negara dijangka kekal terkawal dalam lingkungan 1.5 hingga 2.5 peratus sepanjang tahun ini meskipun ekonomi global terus berdepan ketidaktentuan geopolitik dan tekanan kos yang semakin mencabar.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai langkah mitigasi bagi memastikan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan tidak memberi kesan besar terhadap ekonomi negara serta kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, kadar inflasi Malaysia pada April lalu berada pada paras 1.9 peratus, jauh lebih rendah berbanding unjuran inflasi global sekitar 4.3 peratus.
“Komitmen kita adalah untuk mengekalkan inflasi pada paras yang boleh kita hadapi walaupun tekanan yang berlaku berpunca daripada faktor global seperti bekalan minyak dan peningkatan kos input.
“Unjuran kita bagi tahun ini adalah inflasi berada dalam lingkungan 1.5 hingga 2.5 peratus supaya pergerakannya tidak memberi kesan renjatan kepada keadaan ekonomi dan kehidupan rakyat,” katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi hari ini.
Beliau berkata, kerajaan akan meneruskan pelbagai langkah intervensi bagi mengurangkan tekanan kos yang dihadapi rakyat dan sektor perniagaan, termasuk menerusi penyaluran subsidi bahan api secara bersasar serta kawalan kos logistik melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Selain itu, kemudahan pembiayaan tambahan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Bank Negara Malaysia turut disediakan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana mengekalkan operasi mereka dalam suasana ekonomi yang mencabar.
“Semua intervensi ini dilakukan untuk memastikan aktiviti ekonomi terus berjalan dan pada masa sama mengelakkan kenaikan kos daripada merebak secara meluas kepada pengguna,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui tekanan inflasi boleh meningkat sekiranya ketidaktentuan geopolitik global berlarutan dan menjejaskan rantaian bekalan serta harga komoditi dunia.
“Sekiranya ketidaktentuan global berlarutan, tekanan terhadap inflasi akan menjadi lebih kuat dan sebab itu kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa serta mengambil langkah mitigasi yang bersesuaian,” ujarnya.
Malaysia sebelum ini mencatatkan antara kadar inflasi terendah di rantau Asia Tenggara hasil pelaksanaan pelbagai dasar kawalan harga dan subsidi bersasar.
Kerajaan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan ekonomi domestik bagi mengurangkan kesan ketidaktentuan ekonomi global terhadap rakyat dan perniagaan tempatan.
Bekas hakim Mahkamah Persekutuan dilantik Pengerusi Majlis Media Malaysia
Warga emas rugi RM9 juta diperdaya pelaburan tidak wujud di Kuching: Bernama
Rosmah nafi dakwaan miliki rumah agam RM55 Juta di Amerika
Program Ziarah Kasih: Fahmi santuni warga emas, pesakit terlantar di Seri Menanti
62 NADI Negeri Sembilan tawar latihan AI percuma
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi