Berfikir sebelum bertindak, Sultan Nazrin ingatkan pemimpin

June 17, 2026 · Isu semasa

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan pemimpin agar tidak membuat keputusan secara terburu-buru mengikut emosi kerana tindakan sedemikian boleh membawa kesan buruk kepada negara dan rakyat.

Baginda bertitah keputusan yang dibuat tanpa pertimbangan matang demi kepentingan jangka pendek akhirnya akan menyebabkan rakyat yang tidak bersalah menanggung akibat yang besar.

“Amatlah malang bagi sesebuah negara dan bangsa apabila berlakunya suasana pemimpin memilih bertindak secara impulsif, melatah dan melulu mengikut dorongan hati dan pengaruh emosi, lalu bertindak secara terburu-buru tanpa berfikir panjang,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448 Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra hari ini.

Sultan Nazrin bertitah lagi, peristiwa hijrah Rasulullah SAW menjadi contoh terbaik tentang pentingnya perancangan yang teliti sebelum melaksanakan sesuatu perubahan besar.

Menurut baginda, penghijrahan Rasulullah SAW bukanlah tindakan yang dilakukan secara tergesa-gesa, sebaliknya disusun dengan penuh strategi, termasuk memilih laluan yang selamat, mendapatkan maklumat risikan dan menilai pelbagai risiko yang mungkin dihadapi.

“Langkah ini membuktikan bahawa kejayaan sesuatu perubahan memerlukan perancangan yang matang dan pertimbangan yang menyeluruh,” titah baginda.

Baginda turut menjelaskan bahawa kisah hijrah menunjukkan Islam mengiktiraf kepakaran, integriti dan amanah seseorang tanpa prejudis terhadap latar belakang agama, selagi tidak memudaratkan umat Islam.

Pada masa sama, Sultan Nazrin menekankan seorang pemimpin perlu sentiasa tenang, terbuka dan berhati-hati ketika membuat keputusan.

Baginda berkata, setiap tindakan perlu berasaskan maklumat yang mencukupi serta pertimbangan rasional bagi memastikan hasil terbaik dapat dicapai.

Selain aspek kepimpinan, baginda turut menggariskan tiga pengajaran utama daripada peristiwa hijrah iaitu pengorbanan, perpaduan dan kerjasama serta tawakal kepada Allah SWT.

Menurut baginda, pengorbanan merupakan asas kepada setiap kejayaan besar sebagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat sanggup meninggalkan kampung halaman, harta benda dan keselesaan hidup demi mempertahankan akidah Islam.

“Semangat pengorbanan yang semakin kabur dalam kalangan ummah perlu dihidupkan semula dan dijadikan budaya hidup demi memastikan kelangsungan negara berdepan cabaran dunia yang semakin mencabar,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan perpaduan dan kerjasama menjadi kekuatan utama yang membolehkan Madinah berkembang sebagai sebuah masyarakat yang aman, maju dan berperadaban.

Sultan Nazrin berkata, langkah Rasulullah SAW mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar berjaya menghapuskan jurang perbezaan serta menjadi asas kepada pembentukan masyarakat majmuk yang bersatu melalui Piagam Madinah, amalan toleransi dan kepimpinan yang adil.

“Kejayaan sesebuah negara bergantung kepada kesediaan rakyat untuk bekerjasama, saling menghormati dan hidup dalam suasana harmoni walaupun berbeza latar belakang,” titah baginda.

Sambutan Maal Hijrah saban tahun diraikan bagi memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah yang menjadi titik penting dalam perkembangan tamadun Islam.

Tema hijrah terus dijadikan panduan dalam membentuk masyarakat yang lebih bersatu, berintegriti dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran semasa.

Berita berkaitan
Saarani: Belum ada keperluan bubar DUN Perak
November 23, 2026· Politik
PM arah siasatan menyeluruh, telus kes kematian pelajar di Perak: Bernama
November 18, 2026· Isu semasa
Tular berita DUN Perak bubar, Pejabat MB tampil nafi
November 18, 2026· Politik
Tuanku Muhriz titah Ismail teruskan tugas MB seperti biasa: Laporan
November 18, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Anwar, Fahmi beri penghormatan terakhir kepada A Samad Said
November 24, 2026 · Isu semasa
MCMC saman Google RM300 juta isu kandungan palsu Papagomo
November 24, 2026 · Isu semasa
Dijanjikan untung 500 peratus, pengurus syarikat rugi RM262,200
2 jam lalu · Isu semasa
Asas ekonomi negara lebih kukuh selepas empat tahun: PMX
2 jam lalu · Isu semasa
Pemergian Pak Samad tinggalkan legasi besar, jadi inspirasi generasi muda: Fahmi
3 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
November 24, 2026
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
November 20, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok