Harga mingguan minyak.
Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia diturunkan sebanyak 30 sen seliter kepada RM4.37 bagi tempoh 18 hingga 24 Jun 2026 selaras dengan pelaksanaan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Dalam kenyataannya hari ini, MOF memaklumkan penurunan itu dibuat susulan pergerakan purata harga pasaran minyak antarabangsa pada minggu sebelumnya.
Bagaimanapun, harga petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing kekal pada RM4.35 dan RM3.72 seliter, manakala harga semua bahan api bersubsidi turut tidak berubah.
Menurut kementerian itu, kerajaan melihat perkembangan positif dalam konflik di Asia Barat yang menunjukkan tanda-tanda ke arah penyelesaian lebih berkekalan, sekali gus membantu meredakan tekanan terhadap harga minyak mentah dunia.
“Perkembangan tersebut menyumbang kepada penyederhanaan harga minyak mentah global berbanding paras tertinggi sebelum ini,” menurut kenyataan itu.
Namun MOF menjelaskan beban subsidi yang ditanggung kerajaan masih tinggi meskipun harga diesel menunjukkan penurunan.
“Berdasarkan harga pasaran semasa, tanggungan subsidi kerajaan masih diunjurkan sekitar RM3.5 bilion sebulan. Daripada jumlah itu, subsidi RON95 dianggarkan sekitar RM2 bilion sebulan manakala subsidi diesel pula kira-kira RM1.5 bilion sebulan,” katanya.
Kementerian turut mengingatkan beberapa risiko jangka pendek masih boleh menjejaskan trend penurunan harga minyak global.
“Masih terdapat beberapa risiko jangka pendek yang boleh mengekang penurunan harga minyak mentah dan produk petroleum ke paras prakonflik.
“Ini termasuk ketidaktentuan berhubung pembukaan semula laluan perdagangan di Selat Hormuz, gangguan bekalan yang dijangka mengambil masa berbulan-bulan untuk pulih sepenuhnya, serta risiko rundingan damai tidak mencapai penyelesaian muktamad,” katanya.
Kerajaan menegaskan akan terus memastikan kebajikan rakyat dan kelangsungan operasi sektor tertentu terpelihara melalui pemberian bantuan serta subsidi bersasar, selain mengurus perbelanjaan fiskal secara berhemat ketika ketidaktentuan pasaran global masih berterusan.
Walaupun bekalan bahan api negara masih mencukupi ketika ini, Kerajaan MADANI menggesa rakyat mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemah.
“Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi,” menurut kenyataan itu.
Dewan Rakyat lulus Belanjawan 2027, perbahasan masuk fasa kedua
Kempen Internet Selamat fokus penguatkuasaan keselamatan digital: Fahmi
Industri kreatif sumbang RM130.7 bilion kepada ekonomi negara
Pengurangan duti hiburan bukan galak hedonisme, jana ekonomi kreatif: Fahmi
Parlimen: 1,588 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana dadah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum