Pengumuman calon BN pada Pilihan Raya Negeri Johor.
Barisan Nasional (BN) Johor membuat kejutan apabila mempertaruhkan semula bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu, Alwiyah Talib, untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, walaupun beliau baru kurang sebulan kembali menyertai UMNO.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi BN Johor, Onn Hafiz Ghazi, pada majlis pengumuman calon BN di Pejabat Perhubungan UMNO Johor, hari ini.
Keputusan mencalonkan Alwiyah menarik perhatian kerana beliau hanya mengumumkan keluar daripada Bersatu dan kembali menyertai UMNO pada 4 Jun lalu selepas lebih tujuh tahun bersama parti itu.
Alwiyah mula memenangi kerusi DUN Endau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atas tiket BN-UMNO.
Namun pada Mei 2018, beliau meninggalkan UMNO bersama beberapa ADUN Johor lain sebelum menyertai Bersatu.
Dalam PRN Johor 2022, beliau berjaya mempertahankan kerusi itu di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) menerusi pertandingan lima penjuru.
Sementara itu, Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor diumumkan kekal mempertahankan kerusi DUN Machap yang disandangnya sejak PRN 2022.
Pada pilihan raya lalu, beliau menang dengan majoriti 6,543 undi selepas memperoleh 11,029 undi, menewaskan calon PAS mewakili PN, MUDA dan Pejuang.
Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan calon mudanya, Nor Hafiz Roslan, sebagai pencabar kepada Onn Hafiz di Machap.
Selain itu, bekas Menteri Kesihatan, Adham Baba, turut mencuri perhatian apabila dicalonkan di DUN Pasir Raja, sekali gus menandakan kemunculan semulanya dalam gelanggang pilihan raya selepas tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15.
Adham bukan nama asing di kawasan berkenaan kerana pernah menjadi ADUN Pasir Raja selama dua penggal antara 2008 hingga 2018.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Tenggara selama dua penggal.
Pengumuman calon-calon berprofil tinggi itu dilihat sebagai usaha BN memperkukuhkan kedudukannya menjelang PRN Johor yang bakal berlangsung pada 11 Julai ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 Jun sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Perangi rasuah bukan mudah, berdepan tentangan pelbagai pihak: PMX
Bersatu nafi bantah kemasukan Pejuang ke PN, bantah kemasukan PCM: Hilman
Tun Faisal dakwa Hamzah punca keretakan PN, PAS campur urusan dalaman Bersatu
Parti Rafizi terlalu taksub kritik kerajaan, tiada formula bantu rakyat: AMK
Bukankah FELDA diurus Pengerusi dan Menteri UMNO? DAPSY persoal dakwaan MB Johor
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar