Sheikh Umar Baghraib Ali.
Sheikh Umar Baghraib Ali menggesa Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi tampil menjelaskan secara terbuka pihak yang didakwa menghalangnya daripada memasuki kawasan FELDA bagi menghadiri program penyerahan geran hak milik kepada peneroka baru-baru ini.
Naib Pengerusi DAP Johor itu berkata, dakwaan yang dibuat oleh Onn Hafiz itu adalah serius dan tidak sepatutnya dibiarkan tergantung tanpa penjelasan lengkap kepada rakyat.
“Bagi saya persoalan paling asas ialah siapa sebenarnya yang menghalang beliau. Adakah FELDA yang menghalang, pihak keselamatan, pengurusan rancangan atau arahan itu datang daripada pihak lain?
“Jika benar beliau dihalang, perkara ini sangat serius dan mesti dijelaskan secara terperinci,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sheikh Umar berkata, setakat ini Onn Hafiz hanya membuat dakwaan umum tanpa menamakan mana-mana pihak yang bertanggungjawab terhadap tindakan tersebut.
Menurutnya, kegagalan menjelaskan perkara itu boleh menimbulkan persoalan sama ada dakwaan berkenaan sekadar naratif politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang semakin hampir.
“Kita sekarang sudah memasuki musim pilihan raya. Rakyat berhak bertanya sama ada kenyataan sebegini hanya bertujuan menimbulkan persepsi bahawa beliau sedang dizalimi atau cuba memainkan watak mangsa,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Onn Hafiz tidak perlu menjadi “drama king” dengan membina dakwaan yang kabur tanpa disokong fakta lengkap, selain menggesa agar naratif simpati politik yang tidak berasas dihentikan.
Kontroversi itu tercetus selepas Onn Hafiz mendedahkan beliau tidak dibenarkan memasuki kawasan FELDA sempena program penyerahan geran hak milik kepada peneroka pada sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor 2026 yang dijadualkan berlangsung di FELDA Ulu Belitong, Kluang pada 20 dan 21 Jun lalu.
Susulan itu, lokasi majlis berkenaan dilaporkan dipindahkan ke Dewan Dato’ Onn, Taman Sri Lambak.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Ahmad Zahid Hamidi, menafikan dakwaan pernah mengeluarkan arahan atau halangan terhadap kehadiran Onn Hafiz ke kawasan FELDA.
Perangi rasuah bukan mudah, berdepan tentangan pelbagai pihak: PMX
Bersatu nafi bantah kemasukan Pejuang ke PN, bantah kemasukan PCM: Hilman
Tun Faisal dakwa Hamzah punca keretakan PN, PAS campur urusan dalaman Bersatu
Parti Rafizi terlalu taksub kritik kerajaan, tiada formula bantu rakyat: AMK
Bukankah FELDA diurus Pengerusi dan Menteri UMNO? DAPSY persoal dakwaan MB Johor
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar