Fahmi merasmikan NADI Kampung Parit Kemang, Batu Pahat hari ini.
Kerajaan terus memperluaskan akses kepada kemahiran kecerdasan buatan (AI) apabila Program AI for Community@NADI dilaksanakan di 167 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di 10 negeri, dengan sasaran penyertaan seramai 5,010 orang.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama Pepper Labs dan Amazon Web Services (AWS) itu bertujuan memastikan masyarakat, khususnya di peringkat akar umbi, tidak ketinggalan menguasai kemahiran AI selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
“Program ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai asas dan aplikasi AI termasuk kejuruteraan ‘prompt’, penggunaan AI bagi perniagaan mikro, meningkatkan produktiviti serta menggalakkan amalan penggunaan AI yang bertanggungjawab,” katanya ketika merasmikan NADI Kampung Parit Kemang hari ini.
Di Johor, sebanyak 17 NADI terlibat dalam pelaksanaan program berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan akses kepada latihan AI secara inklusif.
Menurut Fahmi, program itu juga menyokong aspirasi Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kemahiran digital rakyat dan meningkatkan daya saing komuniti dalam ekonomi digital.
Beliau berkata, usaha melahirkan sekurang-kurangnya seorang pakar *prompt engineering* di setiap NADI menerusi konsep “1 NADI 1 Prompt Engineer” diharap dapat mewujudkan individu rujukan di peringkat komuniti yang mampu membantu masyarakat memanfaatkan teknologi AI secara praktikal dan beretika.
Sementara itu, kejayaan NADI di peringkat antarabangsa turut menjadi pemangkin kepada pelaksanaan program berkenaan apabila pusat berkenaan menerima pengiktirafan menerusi World Summit on the Information Society (WSIS) serta berperanan sebagai Digital Transformation Centre di bawah International Telecommunication Union (ITU).
Pengiktirafan itu membuka peluang kepada komuniti untuk mengakses pelbagai program pembangunan kemahiran dan pensijilan digital bertaraf global.
Turut hadir Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Bukhari Yahya.
NADI merupakan inisiatif MCMC yang menyediakan kemudahan internet, latihan kemahiran digital dan pelbagai program pembangunan komuniti bagi membantu merapatkan jurang digital, khususnya di kawasan luar bandar dan separa bandar.
Kerajaan perkasa bantuan guaman syarie dengan peruntukan baharu RM1.5 juta: PMX
Portal rasmi KKM diserang penggodam
Isa Samad kekal dipenjara, mahkamah tolak permohonan semakan
Kerajaan masih perhalusi cadangan tangani isu Rohingya
‘Kesejahteraan Dinikmati’ jadi tema sambutan Hari Kebangsaan: Fahmi
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar