Fahmi Fadzil.
Kerajaan masih meneliti pendekatan terbaik bagi menangani isu pelarian Rohingya di Malaysia selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperhalusi dapatan yang dikemukakan menerusi mesyuarat penyelarasan melibatkan pelbagai kementerian dan agensi.
Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata penelitian lanjut itu penting bagi memastikan setiap langkah yang bakal dilaksanakan benar-benar berkesan serta diselaraskan dengan semua agensi yang berkaitan.
“Sekiranya ia berkaitan sama ada pendaftaran ataupun perkara-perkara berkaitan, maka perlu diselaraskan di antara pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa tempatan dari segi penguatkuasaan,” katanya pada sidang akhbar mingguan di Putrajaya hari ini.
Menurut Fahmi, mesyuarat berkenaan melibatkan beberapa agensi utama termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), KDN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pejabat Menteri Besar Selangor serta Kementerian Luar Negeri.
Beliau berkata, perbincangan itu merupakan kesinambungan kepada beberapa siri mesyuarat yang telah diadakan sejak beberapa minggu lalu bagi merangka hala tuju dasar berkaitan pengurusan pelarian Rohingya di negara ini.
Katanya, hasil perbincangan tersebut telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum Perdana Menteri mengarahkan KDN membuat semakan lanjut terhadap setiap dapatan yang dikemukakan.
Bagaimanapun, Fahmi menjelaskan semua cadangan yang dibincangkan masih berada pada peringkat penelitian dan kerajaan belum membuat sebarang keputusan muktamad.
“Perkara ini masih dalam perbincangan dan belum ada keputusan tertentu untuk diumumkan pada hari ini. Perbincangan itu akan diteruskan dalam masa terdekat,” katanya.
Isu pelarian Rohingya sering menjadi perhatian kerana membabitkan aspek keselamatan, kebajikan, imigresen dan hubungan diplomatik.
Malaysia bukan negara pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951, namun menjadi antara destinasi utama pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada konflik dan penindasan di Myanmar.
Justeru, kerajaan perlu menyeimbangkan pertimbangan kemanusiaan dengan keperluan penguatkuasaan undang-undang serta kepentingan keselamatan negara dalam merangka dasar berkaitan golongan berkenaan.
Dewan Rakyat lulus Belanjawan 2027, perbahasan masuk fasa kedua
Parlimen: 1,588 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana dadah
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum