Kerajaan percepat langkah hadapi krisis bekalan global: Akmal Nasrullah

June 29, 2026 · Isu semasa

Kerajaan memberi jaminan ekonomi negara kekal kukuh dan berdaya tahan walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global susulan konflik antara Amerika Syarikat (AS)-Israel dengan Iran yang menjejaskan rantaian bekalan antarabangsa.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan bertindak pantas sejak krisis itu bermula dengan memperkukuh mekanisme pengurusan menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), yang kini bermesyuarat setiap minggu bagi menilai perkembangan semasa, mengenal pasti risiko terhadap ekonomi serta menyelaras tindakan kementerian dan agensi berkaitan.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 120 keputusan MTEN telah dan sedang dilaksanakan, dengan 27 daripadanya berjaya diselesaikan manakala baki 93 lagi berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan.

“Ini menunjukkan bahawa intervensi kerajaan bukan sekadar diumumkan, tetapi sedang dilaksanakan dan dipantau secara dekat,” katanya ketika memberi penerangan di Dewan Rakyat mengenai krisis bekalan global pada Isnin.

Menurut Akmal, kerajaan turut menubuhkan Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) bagi memantau kedudukan bekalan, harga, rantaian logistik dan keperluan intervensi segera. Selain itu, Dashboard Pantau Krisis diwujudkan bagi membolehkan perkembangan semasa dipantau hampir secara masa nyata.

Beliau berkata, asas ekonomi Malaysia terus menunjukkan prestasi memberangsangkan walaupun berdepan cabaran luaran.

Katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama 2026, disokong permintaan domestik yang kukuh, manakala kadar inflasi kekal terkawal pada 2.0 peratus pada Mei berbanding 1.9 peratus pada April.

Dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini, eksport Malaysia meningkat 24.3 peratus kepada RM793.8 bilion, manakala aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) pada suku pertama mencecah RM22.8 bilion, khususnya dalam sektor perkhidmatan.

Pada masa sama, negara merekodkan pelaburan diluluskan bernilai RM92.8 bilion melibatkan 1,249 projek yang dijangka mewujudkan lebih 50,000 peluang pekerjaan baharu.

“Walaupun penganalisis global mengiktiraf kedudukan Malaysia, bagi kerajaan ukuran yang lebih penting ialah rakyat masih boleh mendapatkan bekalan minyak di stesen minyak, memperoleh barangan keperluan di rak kedai, meneruskan pekerjaan serta menerima bantuan apabila diperlukan.

“Itulah maksud sebenar daya tahan ekonomi. Ia bukan sekadar angka dalam laporan, tetapi kestabilan yang dapat dirasai dalam kehidupan harian rakyat,” katanya.

Akmal berkata, kerajaan akan terus memperkukuh langkah intervensi bagi melindungi rakyat, menstabilkan bekalan dan harga, membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta meningkatkan daya tahan ekonomi negara dalam jangka sederhana dan panjang.

Beliau menambah, perkembangan krisis bekalan global akan terus dipantau secara berterusan menerusi MTEN supaya sebarang risiko terhadap ekonomi negara dapat dikenal pasti dan ditangani lebih awal.

Konflik yang memuncak di Asia Barat sejak beberapa minggu lalu telah mencetuskan kebimbangan terhadap gangguan rantaian bekalan global, termasuk bekalan tenaga dan komoditi, sekali gus mendorong kerajaan memperhebat langkah pemantauan bagi memastikan kesannya terhadap ekonomi dan kesejahteraan rakyat dapat diminimumkan.

Berita berkaitan
Bekalan bahan api cukup hingga Ogos, harga barangan terus dipantau
6 jam lalu· Isu semasa
Kerajaan pusat dan negeri sepakat tangani cabaran ekonomi: Anwar
June 23, 2026· Politik
Ringgit dijangka berdepan sedikit tekanan minggu depan
June 21, 2026· Isu semasa
Kerajaan cari jalan bantu syarikat media hadapi cabaran ekonomi: Fahmi
June 20, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Ketua UMNO Kangar bersama dua pengarah diarah bayar balik kes tiket umrah
3 jam lalu · Isu semasa
MCMC sita peralatan komunikasi tak diperakui bernilai RM2.06 Juta
3 jam lalu · Isu semasa
Anwar lancar Malaysia Digital 2030, sasar ekonomi digital sumbang 30% KDNK
6 jam lalu · Isu semasa
18,000 permohonan tambahan kuota diesel BUDI MADANI: MoF
9 jam lalu · Isu semasa
PRN Johor: Polis buka tiga kertas siasatan
9 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
June 15, 2026
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar
June 15, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok