Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur), Shahbudin Embun.
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempersoalkan pendekatan bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli yang didakwa memberi tumpuan kepada individu tertentu dalam membangkitkan isu mafia korporat, termasuk sama ada tindakan itu benar-benar bermotifkan integriti atau mempunyai kepentingan politik.
Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur), Shahbudin Embun berkata, rakyat berhak menilai corak kritikan Rafizi, khususnya ketika isu berkenaan turut menyentuh kredibiliti Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kepimpinan kerajaan.
Menurutnya, dakwaan berkaitan mafia korporat bukan perkara kecil kerana membabitkan persoalan integriti, ketelusan serta keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
Beliau turut membangkitkan laporan yang mengaitkan Victor Chin dengan dakwaan penyerahan wang tunai berjumlah RM9.5 juta, yang menurutnya memerlukan penelitian dan penjelasan berdasarkan bukti sah.
“Saya mempersoalkan mengapa perbahasan politik kelihatan lebih tertumpu kepada beberapa pimpinan PKR, sedangkan semua individu yang mempunyai maklumat relevan, termasuk mereka yang dikaitkan dengan dakwaan berkenaan, sewajarnya memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan.
Shahbudin menegaskan, persoalan itu bukan bertujuan melindungi mana-mana individu, sebaliknya memastikan prinsip keadilan dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengira kedudukan, pengaruh atau hubungan politik.
“Jika perjuangan benar-benar berteraskan integriti, maka prinsipnya mestilah jelas, semua pihak yang berkaitan perlu diteliti tanpa mengira kedudukan, pengaruh atau hubungan politik,” katanya.
Beliau turut menegaskan setiap dakwaan serius perlu disokong bukti yang boleh diuji, manakala cerita yang berlegar, andaian dan naratif yang belum disahkan tidak boleh dianggap sebagai kebenaran mutlak.
Sehubungan itu, Shahbudin menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional, bebas dan telus. Sebarang bukti salah laku, katanya, perlu ditangani mengikut lunas undang-undang.
Bagaimanapun, beliau tidak menganggap setiap kritikan Rafizi berpunca daripada dendam peribadi. Namun, katanya, tindakan yang berulang kali menyasarkan individu tertentu wajar dinilai bagi menentukan sama ada pendekatan itu benar-benar mengutamakan kepentingan awam.
Beliau turut mengaitkan perdebatan berkenaan dengan perbezaan pendirian mengenai masa depan kepimpinan Anwar, sambil mempersoalkan sama ada pertelingkahan politik yang berpanjangan mampu menawarkan penyelesaian kepada negara.
“Jika seseorang pemimpin mahu mencabar kerajaan melalui proses demokrasi, kemukakanlah dasar alternatif, hujah yang kukuh dan penyelesaian yang boleh dinilai rakyat,” katanya.
Shahbudin berkata, isu negara tidak seharusnya menjadi medan untuk mencetuskan krisis keyakinan tanpa penjelasan yang tuntas.
Sebelum ini, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim turut menggesa Victor Chin tampil membantu pihak berkuasa menyelesaikan isu mafia korporat bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan kepada semua pihak.
Setakat kenyataan tersebut, persoalan mengenai dakwaan berkenaan perlu ditentukan melalui siasatan dan bukti yang sah, bukannya kesimpulan berdasarkan pertikaian politik semata-mata.
Ismail Lasim nafi letak jawatan MB Negeri Sembilan
Mahkamah gantung notis batal pendaftaran PN
12 tuntutan MA63 dalam empat tahun berjaya diselesaikan: Mustapha
Isu DAP: Amanah minta PAS hentikan politik sentimen
Adly: PH tidak tanding semua kerusi di Melaka
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum