Perdana Menteri Anwar Ibrahim melancarkan pasport baharu di Parlimen hari ini.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim melancarkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu yang dilengkapi 94 ciri keselamatan terkini bagi memperkukuh integriti dokumen perjalanan negara serta mengekang kegiatan pemalsuan.
Pelancaran pasport baharu itu turut mengukuhkan kedudukan Pasport Malaysia sebagai antara yang paling berkuasa di dunia, sekali gus memudahkan rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke pelbagai negara.
Pasport yang dibangunkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu menampilkan pelbagai penambahbaikan teknologi keselamatan, termasuk penggunaan hologram yang dipertingkatkan, cetakan ultraungu (UV), elemen visual tersembunyi serta ciri forensik khas bagi menyukarkan sebarang cubaan pemalsuan.
Selain itu, benang jahitan yang mengikat helaian pasport turut mempunyai ciri keselamatan tersendiri, manakala setiap helaian memaparkan elemen keselamatan berbeza sebagai perlindungan tambahan terhadap pemalsuan.
Bagi pelaksanaan awal, pengeluaran PMA versi baharu akan dimulakan di empat lokasi iaitu Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, Pejabat Pasport Kuala Lumpur di Jalan Duta, UTC Wangsa Maju dan Pejabat Imigresen Shah Alam.
JIM memaklumkan pengeluaran pasport baharu itu akan diperluaskan secara berperingkat ke seluruh negara selepas fasa permulaan selesai.
Orang ramai bagaimanapun tidak perlu tergesa-gesa menukar pasport sedia ada sekiranya dokumen itu masih mempunyai tempoh sah laku melebihi enam bulan kerana pasport lama masih boleh digunakan sehingga tamat tempoh.
Malaysia sebelum ini secara konsisten berada dalam kelompok pasport paling berkuasa dunia berdasarkan kebebasan perjalanan tanpa visa atau kemudahan visa semasa ketibaan ke banyak negara.
Penambahbaikan terbaharu ini dijangka terus meningkatkan keyakinan terhadap keselamatan dokumen perjalanan negara di peringkat antarabangsa.
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum