Laman web rasmi KKM digodam.
ementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan capaian ke Portal Rasmi KKM dihentikan buat sementara waktu bagi membolehkan langkah pengukuhan kawalan keselamatan siber dilaksanakan susulan gangguan yang dikesan pada portal berkenaan.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, KKM berkata siasatan sedang dijalankan bersama agensi berkaitan selain melaksanakan tindakan pemulihan bagi memastikan keselamatan sistem kementerian terus terpelihara.
Menurut kementerian itu, setakat ini tiada petunjuk yang menunjukkan insiden berkenaan menjejaskan sistem kritikal atau menyebabkan kebocoran data penting milik KKM.
“Setakat ini, tiada petunjuk bahawa insiden berkenaan menjejaskan sistem kritikal atau mengakibatkan kebocoran data kritikal KKM,” menurut kenyataan itu.
KKM turut memberi jaminan bahawa sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan di seluruh negara terus beroperasi seperti biasa kerana ia menggunakan infrastruktur berasingan yang dilengkapi kawalan keselamatan siber yang ketat.
Kementerian itu menjelaskan Portal Rasmi KKM hanya berfungsi sebagai saluran penyampaian maklumat korporat dan maklumat awam, serta tidak menyimpan rekod perubatan pesakit atau data kesihatan individu.
“KKM kekal komited memastikan keselamatan aset digital kementerian serta kelangsungan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat,” katanya.
Perkembangan lanjut mengenai siasatan dan proses pemulihan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa selepas penilaian teknikal selesai dijalankan.
Sabtu lalu, media melaporkan Portal Rasmi KKM mengalami gangguan akses yang dipercayai berpunca daripada insiden keselamatan siber.
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum