Rosmah Mansor.
Mahkamah Rayuan menetapkan prosiding rayuan Rosmah Mansor terhadap sabitan dan hukuman dalam kes rasuah projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion akan didengar selama 16 hari bermula 1 September depan, selepas membenarkan permohonan penangguhan yang dikemukakan pihak pembelaan.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Azhahari Kamal Ramli menetapkan rayuan itu akan berlangsung pada 1 hingga 4 September, 8 hingga 11 September serta 21 hingga 30 September.
Mahkamah membenarkan permohonan peguam Rosmah, Jagjit Singh, untuk menangguhkan prosiding yang sebelum ini dijadualkan bermula pada Rabu.
Bagaimanapun, Azhahari menegaskan tiada lagi penangguhan akan dibenarkan selepas ini memandangkan kes berkenaan telah berlarutan sejak 2022.
“Mahkamah mengingatkan rayuan ini mesti bermula pada 1 September dan prosiding akan diteruskan mengikut jadual tanpa sebarang penangguhan di tengah-tengah perbicaraan,” katanya.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira surat bertarikh Oktober 2024 yang membenarkan rayuan utama ditangguhkan sehingga semua proses perundangan, termasuk permohonan semakan, diselesaikan sepenuhnya.
Mahkamah turut mempertimbangkan isu peribadi yang dihadapi seorang lagi peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kader, namun menegaskan rayuan perlu diselesaikan selewat-lewatnya pada penghujung September.
Pendakwaan dalam prosiding itu diwakili Timbalan Pendakwa Raya, K. Mangai.
Sebelum ini, rayuan berkenaan dijadualkan didengar selama tiga hari bermula 1 Julai.
Rosmah merayu terhadap sabitan atas satu pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, melalui bekas pembantunya, Rizal Mansor.
Suapan itu didakwa sebagai balasan membantu syarikat berkenaan memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi mensabitkan Rosmah atas ketiga-tiga pertuduhan sebelum menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan serta denda RM970 juta.
Mahkamah turut memerintahkan beliau menjalani hukuman penjara tambahan 10 tahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan diputuskan.
Zahid sambut seruan Anwar berdamai lepas PRN
Fahmi: Undi tentukan masa depan negeri, anak perantauan digesa balik mengundi
Mahfuz persoal Hadi arah pengundi PAS undi BN
PH nafi beri wang kepada pengundi di PRN Negeri Sembilan
Anwar rayu rakyat Negeri Sembilan pilih kestabilan
[VIDEO] Anak perantauan digesa balik, undi calon PH demi masa depan Negeri Sembilan
[VIDEO] NGO Melayu N9 seru rakyat pertahan kestabilan dan agenda pembangunan, tolak fitnah dan sentimen kaum