Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar.
Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar mempersoalkan arahan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang meminta ahli serta penyokong parti itu mengundi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi yang ditandingi gabungan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut Mahfuz, arahan itu menimbulkan persoalan mengenai pendirian PAS memandangkan parti berkenaan sebelum ini sering mengkritik UMNO dan BN dalam pelbagai isu politik.
“Rakyat khususnya ahli dan penyokong PAS perlu bertanya apakah yang berubah. Prinsip atau strategi politik?
“Saya tidak mempersoalkan hak mana-mana parti untuk bekerjasama. Itu hak mereka dalam demokrasi. Tetapi saya mempersoalkan kejujuran terhadap penyokong sendiri. Jangan jadikan ahli dan penyokong sebagai mangsa percaturan politik elit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahfuz berkata, ahli dan penyokong PAS berhak memperoleh penjelasan yang jelas berhubung perubahan pendirian itu, bukannya sekadar menerima arahan.
Beliau turut mengaitkan perkara itu dengan kenyataan Abdul Hadi pada masa lalu yang mengkritik UMNO menggunakan pelbagai gelaran, namun kini menggesa penyokong PAS mengundi calon BN.
“Kalau bertahun-tahun kita kata air di perigi itu beracun, tiba-tiba hari ini kita pula menyuruh orang kampung meminumnya, jangan marah kalau orang kampung bertanya, yang berubah itu airnya atau cerita kita?
“Kalau dahulu BN dikatakan tidak layak kerana prinsip, mengapa hari ini BN layak kerana pilihan raya?” katanya.
Mahfuz turut menyentuh isu Tabung Haji yang pernah menjadi antara bahan kritikan politik, sambil menyifatkan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) memberi ruang kepada masyarakat menilai sesuatu isu berdasarkan fakta.
“Politik yang baik tidak membina sokongan melalui ketakutan. Politik yang baik membina kepercayaan melalui fakta dan amanah,” katanya.
Beliau turut menggesa ahli dan penyokong PAS supaya tidak takut mengemukakan persoalan terhadap kepimpinan parti.
“Bertanya bukan derhaka. Bertanya ialah tanda kita menghargai amanah dan menghormati akal yang Allah kurniakan,” katanya.
Mahfuz berkata, PRN Negeri Sembilan bukan sekadar menentukan wakil rakyat yang akan dipilih, sebaliknya menjadi medan menentukan budaya politik yang ingin diwariskan kepada generasi akan datang.
Katanya, rakyat perlu membuat keputusan berdasarkan fakta, prinsip dan amanah, bukannya dipengaruhi percaturan politik semata-mata.
Kenyataan itu dibuat ketika kempen PRN Negeri Sembilan memasuki hari terakhir menjelang pengundian esok, dengan persaingan tertumpu kepada perebutan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara PH-BN dan Perikatan Nasional (PN).
AMK: Jika bermain dua kolam bersama PN, keluar sahaja kerajaan Selangor
PRN NS: Pengundi atas pagar, lapan kerusi marginal penentu kemenangan esok
AGC jamin siasatan RCI Tabung Haji bebas pengaruh politik, tiada kompromi
859,750 pengundi Negeri Sembilan tentukan nasib 36 kerusi DUN esok
Bersatu dakwa PAS guna logo PN sekadar ‘topeng’ untuk tarik undi bukan Melayu
[VIDEO] NGO Melayu N9 seru rakyat pertahan kestabilan dan agenda pembangunan, tolak fitnah dan sentimen kaum
[VIDEO] Jangan guna laporan RCI untuk bersihkan pemimpin salah tadbir TH walaupun tiada ‘sakau’