Pengecualian fi RM1.
Pengecualian fi RM1 bagi pengeluaran tunai di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kini meliputi kira-kira 84 peratus atau hampir 16,000 mesin ATM di seluruh negara.
Jurucakap Kerajaan Madani, Fahmi Fadzil berkata penjelasan itu dibuat susulan persoalan dan kebimbangan pengguna di media sosial mengenai pelaksanaan inisiatif berkenaan yang bermula 1 Julai.
Menurutnya, beliau telah mendapatkan penjelasan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai skop sebenar pengecualian tersebut, khususnya membabitkan ATM daripada bank yang menyertai rangkaian perkongsian.
“Saya telah berhubung dengan Bank Negara Malaysia untuk mendapatkan penjelasan dan asasnya pengecualian fi ini bertujuan memberi sedikit kelegaan kepada rakyat melalui rangkaian ATM antara bank yang menyertai sistem perkongsian,” katanya pada sidang media mingguan hari ini.
Fahmi berkata, langkah itu membolehkan pengguna membuat pengeluaran tunai di ATM bank lain dalam rangkaian perkongsian tanpa dikenakan caj RM1 seperti sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan pengecualian tersebut tidak melibatkan semua ATM kerana kira-kira 16 peratus mesin di negara ini dikendalikan oleh pengusaha bebas atau pihak ketiga yang menggunakan model perniagaan berbeza.
“Pengumuman ini terpakai bagi ATM milik bank yang menyertai rangkaian perkongsian. Manakala ATM yang dikendalikan pengusaha bebas tidak termasuk dalam pengecualian ini,” katanya.
Sebelum ini, caj RM1 bagi pengeluaran tunai di ATM bank lain sering menjadi rungutan pengguna, terutama mereka yang berada di kawasan yang mempunyai pilihan cawangan atau ATM terhad.
Pengecualian itu dilihat sebagai usaha mengurangkan beban kecil tetapi berulang yang ditanggung pengguna ketika menggunakan kemudahan perbankan harian.
Fahmi berkata, pengguna boleh mengenal pasti ATM yang layak melalui logo bank pada mesin berkenaan, berbanding ATM yang dikendalikan pihak ketiga.
Beliau turut memaklumkan Association of Banks in Malaysia (ABM) dan Association of Islamic Banks in Malaysia (AIBIM) dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi bagi memperincikan pelaksanaan pengecualian fi tersebut.
“Sekiranya ada mana-mana pengguna mendapati masih dikenakan fi RM1 bagi pengeluaran di ATM milik bank, mereka boleh membuat laporan kepada Bank Negara Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.
Pengecualian fi itu dijangka memberi manfaat kepada pengguna yang kerap melakukan pengeluaran tunai di ATM bank lain, terutama di lokasi tumpuan seperti pusat beli-belah, stesen pengangkutan awam dan kawasan luar bandar.
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum