Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim memberi peringatan supaya budaya menggunakan surat sokongan untuk mendapatkan kelulusan dana dalam kalangan agensi dan usahawan Bumiputera dihentikan, khususnya apabila pemohon tidak mempunyai kelayakan atau keupayaan sebenar untuk menjalankan perniagaan.
Perdana Menteri berkata, amalan lama yang terlalu bergantung kepada hubungan politik, kenalan atau pengaruh individu hanya akan melemahkan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera dan menyebabkan dana awam disalurkan kepada pihak yang tidak komited.
Menurutnya, bantuan dan pembiayaan perlu diberikan berdasarkan kemampuan, rekod perniagaan serta potensi syarikat untuk berkembang, bukannya kerana pemohon mempunyai sokongan daripada pihak tertentu.
“Kita perlu fokus membina dan membangunkan syarikat Bumiputera yang mempunyai keupayaan, termasuk mengenal pasti kelemahan mereka supaya boleh dibantu dengan cara yang betul.
“Saya tidak peduli sama ada dia ketua cawangan atau ketua bahagian. Saya sudah beri amaran, kalau ada keupayaan kita bantu. Tetapi kalau hanya pakai surat sokongan, itu langkah untuk melingkupkan agensi seperti yang kita warisi sejak puluhan tahun,” katanya ketika merasmikan SParK 2026: Transformasi Niaga, sebuah platform pembangunan usahawan anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) hari ini.
SParK 2026 dianjurkan sebagai usaha memperkukuh ekosistem perniagaan Bumiputera melalui latihan, jaringan industri, pembiayaan dan sokongan pembangunan syarikat.
PUNB antara agensi yang memainkan peranan menyediakan bantuan kewangan serta bimbingan kepada usahawan Bumiputera, terutama dalam sektor runcit dan perusahaan kecil serta sederhana.
Anwar berkata, budaya meluluskan pinjaman atau bantuan atas dasar hubungan rapat, surat sokongan atau pengaruh politik pernah menyebabkan banyak perniagaan gagal walaupun menerima dana yang besar.
Beliau turut menyentuh isu penyalahgunaan pembiayaan apabila ada penerima pinjaman menggunakan dana bagi tujuan yang tidak berkaitan dengan operasi perniagaan.
“Dulu apabila dapat pinjaman, langkah pertama pejabatnya indah, kemudian kenderaan, kemudian isteri keluar. Akhirnya kegiatan mereka hanya menjual lesen dan mengambil komisen.
“Ini perlu dihentikan. Kita semua mahu popular, tetapi tidak berani menegur ketempangan yang ada. Berapa puluh bilion yang sudah lingkup?” katanya.
Beliau menegaskan pentadbiran Kerajaan MADANI memberi keutamaan kepada pengukuhan tatakelola, integriti dan pemantauan yang lebih ketat dalam penyaluran dana kepada agensi serta usahawan Bumiputera.
Menurut Anwar, pendekatan itu penting bagi memastikan bantuan kerajaan benar-benar melahirkan syarikat yang mampan, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Bantuan mesti diberikan kepada mereka yang benar-benar mahu bekerja, mahu berkembang dan sanggup memikul tanggungjawab. Kita tidak boleh terus mengulangi kesilapan lama,” katanya.
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum