Balai Undang Rembau diberi 24 jam untuk dikosongkan

July 8, 2026 · Isu semasa

Pertikaian kedudukan Balai Undang Luak Rembau semakin tegang apabila premis itu menerima notis merah yang mengarahkan pengosongan dalam tempoh 24 jam.

Notis bertarikh 8 Julai itu ditampal di pagar Balai Undang Luak Rembau dan dipercayai dikeluarkan oleh Pegawai Daerah Rembau.

Arahan terbaharu itu menyusuli surat pengosongan serta-merta yang dikeluarkan Pejabat Tanah dan Daerah Rembau pada 29 Jun lalu terhadap premis berkenaan.

Peguam yang mewakili Dato’ Sedia Raja Abdul Rahim Yasin, Emirul Sarifudin Nor Azmi berkata, tindakan itu dipersoalkan kerana Balai Undang Luak Rembau bukan sekadar sebuah bangunan biasa, sebaliknya menjadi pusat pentadbiran adat Luak Rembau.

Menurutnya, premis itu menempatkan Pejabat Dato’ Undang Luak Rembau serta pejabat Dato’-Dato’ Lembaga Luak Rembau.

“Pihak pentadbiran adat Balai Rasmi Undang Luak Rembau hari ini menerima notis merah oleh Pegawai Daerah Rembau untuk mengosongkan premis tersebut dalam tempoh 24 jam.

“Tindakan mengarahkan pengosongan dalam tempoh 24 jam itu seolah-olah cubaan untuk menafikan hak serta prerogatif Dato’-Dato’ Lembaga Adat Luak Rembau yang sah dan berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Emirul Sarifudin turut mempersoalkan notis berkenaan kerana tidak menyatakan peruntukan undang-undang yang digunakan bagi mengarahkan pengosongan premis tersebut.

Beliau berkata, Abdul Rahim sebelum ini sudah menghantar surat bertarikh 30 Jun kepada Pegawai Daerah Rembau bagi meminta penjelasan dan dokumen berkaitan arahan itu.

Antara dokumen yang diminta termasuk perintah atau arahan penurunan Abdul Rahim sebagai Undang Luak Rembau, keabsahan pelantikan Hassan Abdul Hamid sebagai Undang Luak Rembau ke-22 serta kuasa undang-undang yang membolehkan Pegawai Daerah mengeluarkan notis pengosongan.

“Namun sehingga hari ini, pihak Pegawai Daerah Rembau masih gagal mengemukakan dokumen-dokumen berkenaan,” katanya.

Isu itu berlaku ketika Luak Rembau berdepan pertikaian berkaitan kedudukan Undang, satu institusi penting dalam sistem adat perpatih Negeri Sembilan.

Institusi Undang mempunyai peranan besar dalam pentadbiran adat, termasuk dalam pemilihan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bersama Undang dari luak lain.

Emirul Sarifudin berkata, semua pihak perlu menghormati proses perundangan dan tidak mengambil tindakan yang boleh mencetuskan kekecohan dalam isu adat.

Beliau menegaskan, penentuan kedudukan Undang Luak Rembau secara adat terletak di bawah prerogatif Dato’-Dato’ Lembaga Tiang Balai Baruh dan Darat Luak Rembau, amalan yang sudah berlangsung lebih 500 tahun.

“Punca kuasa menentukan keabsahan kedudukan Undang dalam Luak Rembau terletak pada Dato’-Dato’ Lembaga dan ia selaras dengan Perkara 14(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” katanya.

Menurutnya, hak dan prerogatif Dato’-Dato’ Lembaga Adat Luak Rembau turut dilindungi di bawah Perkara 32 undang-undang tubuh negeri.

Beliau berkata, sebarang usaha mendapatkan milikan premis sepatutnya dibuat menerusi mahkamah, bukan menggunakan pendekatan paksaan ketika krisis adat di Negeri Sembilan masih belum reda.

Berita berkaitan
Notis RoS: Bersatu mahu Perlembagaan PN dipatuhi, elak buat keputusan unilateral
September 25, 2026· Politik
Notis RoS: Mahfuz bidas PAS salahkan kerajaan walhal PN sendiri ada konflik dalaman
September 25, 2026· Politik
Notis pembubaran DUN Negeri Sembilan diserah kepada SPR hari ini
June 5, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
5 jam lalu · Isu semasa
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
5 jam lalu · Isu semasa
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
5 jam lalu · Isu semasa
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
5 jam lalu · Isu semasa
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
12 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok