Kementerian kurangkan latihan di hotel ambil langkah berhemah berbelanja: Fahmi

July 20, 2026 · Isu semasa

Semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi diminta terus mengamalkan perbelanjaan berhemat dengan memanfaatkan sepenuhnya fasiliti milik kerajaan, termasuk Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), bagi penganjuran latihan serta kursus.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, pendekatan itu selaras usaha kerajaan memastikan setiap perbelanjaan awam memberi nilai terbaik ketika negara berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

“Banyak program latihan boleh dilaksanakan di IPPTAR. Sebelum ini mungkin dibuat di hotel atau premis lain, sedangkan kita mempunyai kemudahan sendiri seperti IPPTAR dan INTAN. Saya mahu perkara ini disusuli supaya lebih banyak latihan diadakan di IPPTAR,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya pada Isnin.

Menurut beliau, IPPTAR turut memaklumkan semakin banyak kementerian dan agensi menunjukkan minat menggunakan kemudahan institut itu bagi menjalankan latihan dan kursus.

Fahmi turut mengingatkan semua agensi supaya mengambil kira kesan konflik yang masih berlarutan di Asia Barat kerana perkembangan itu mampu memberi impak kepada ekonomi Malaysia.

“Konflik di Asia Barat dilihat masih belum berakhir dan keadaan ini boleh memberi kesan kepada ekonomi negara. Impaknya akhirnya turut dirasai rakyat di Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, beliau mahu semua agensi lebih peka terhadap isu yang dihadapi masyarakat setempat serta bertindak pantas menyelesaikan masalah.

“Kita perlu menunjukkan Kerajaan Persekutuan bukan sekadar mendengar, sebaliknya responsif dan segera membantu menyelesaikan isu rakyat,” katanya.

Beliau juga menggesa jabatan serta agensi memperkukuh penyebaran maklumat sahih melalui saluran rasmi, terutama bagi mendekati Generasi Z dan Generasi Alpha yang kini banyak mendapatkan maklumat menerusi platform digital.

Merujuk hasil kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fahmi berkata, seramai 87 peratus responden berusia 18 hingga 35 tahun menjadikan WhatsApp sebagai sumber maklumat utama, diikuti Facebook dan TikTok.

Namun, tahap keyakinan terhadap maklumat yang diterima menerusi platform tersebut hanya sekitar 46 hingga 47 peratus.

Sebaliknya, media tradisional seperti akhbar, televisyen dan radio masih dianggap paling dipercayai walaupun pengguna muda kurang mengaksesnya.

“Mereka mungkin jarang membaca akhbar, tetapi apabila melihat sesuatu berita di media tradisional, mereka lebih yakin dengan kesahihannya. Sebaliknya, banyak maklumat diterima melalui WhatsApp, namun mereka sendiri tidak pasti sama ada maklumat itu benar atau sebaliknya,” katanya.

Fahmi turut mengarahkan semua agensi memperbanyakkan kandungan berunsur patriotik sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan yang berlangsung dari 19 Julai hingga 16 September.

Menurutnya, tempoh itu perlu dimanfaatkan untuk menyemai semangat perpaduan, keharmonian dan cintakan negara dalam kalangan rakyat.

Kementerian Komunikasi sebelum ini turut memberi penekanan terhadap penggunaan aset kerajaan secara optimum sebagai langkah meningkatkan kecekapan perbelanjaan, di samping memperkukuh penyampaian maklumat rasmi kepada masyarakat menerusi pelbagai platform media.

Berita berkaitan
Menara FINAS buka era baharu industri filem: Fahmi
10 jam lalu· Isu semasa
JMF buat penampilan sulung, meriahkan Hari Kebangsaan: Fahmi
15 jam lalu· Isu semasa
Kos sara hidup, pelaburan jadi fokus Belanjawan 2027: Fahmi
August 23, 2026· Isu semasa
Lebih 1,500 warga Papar sertai kempen Internet Selamat
August 22, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Anwar rasmi Menara FINAS baharu, industri kreatif masuk fasa baharu
9 jam lalu · Isu semasa
Mahkamah tolak permohonan lucut hak wang RM21.1 juta Aman Palestin
10 jam lalu · Isu semasa
Ashwad, Ziana Zain terima gelaran Datuk Melaka
11 jam lalu · Isu semasa
Ringgit terus mengukuh, data ekonomi jadi pemangkin
15 jam lalu · Isu semasa
Lapan termasuk pempengaruh direman kes tutup lebuh raya untuk lumba haram
15 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
August 16, 2026
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok