Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.
Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menyifatkan kejayaan menarik pelaburan bernilai tinggi dicapai hasil perancangan dan usaha pentadbiran sejak sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata kejayaan merekodkan pelaburan berbilion ringgit tidak berlaku dalam tempoh singkat, sebaliknya hasil kerja berterusan ketika beliau memegang portfolio pelaburan bersama Exco Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam, Teo Kok Siong.
Mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, yang menyifatkan BN sebagai rakan kongsi dalam pencapaian pelaburan negeri, Aminuddin mengakui sumbangan BN dari aspek kestabilan pentadbiran selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Namun, katanya, usaha mempromosikan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan dipimpin oleh portfolio yang dipegang beliau bersama Exco berkaitan.
“Kita telah bekerja lima tahun sebelum itu. Saya Exco Pelaburan, manakala Exco Perindustrian pula Teo Kok Siong.
“Saya tidak tahu kalau dia Exco Pertanian, dia menyumbang dalam bahagian mana. RM19 bilion itu tidak termasuk pelaburan pertanian.
“Memang BN menyumbang kepada kestabilan ketika itu, tetapi usaha promosi dilakukan oleh saya dan Teo Kok Siong selaku Exco Industri. Saya pula memegang portfolio pelaburan,” katanya selepas menghadiri program ramah mesra bersama masyarakat India di Air Kuning.
Sebelum ini, Jalaluddin dilaporkan berkata peningkatan nilai pelaburan dan hasil negeri bukan hasil usaha PH semata-mata, sebaliknya turut disumbangkan wakil rakyat BN yang memiliki 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan pada penggal lalu.
Dalam perkembangan sama, Aminuddin turut mendakwa manifesto yang dibawa BN dan Perikatan Nasional (PN) bagi PRN Negeri Sembilan mempunyai banyak persamaan dengan tawaran PH.
Menurut calon PH bagi DUN Linggi itu, keadaan tersebut membuktikan kedua-dua gabungan berkenaan mengiktiraf pendekatan yang telah dilaksanakan kerajaan negeri sepanjang dua penggal pentadbiran PH.
“Memang mereka salin daripada PH. Ini menunjukkan mereka menerima dan mengakui apa yang PH buat adalah yang terbaik.
“Kalau kita lihat apa yang mereka lakukan, serupa,” katanya.
UMNO teliti 14 tawaran PN sebelum buat keputusan
Kerjasama BN-PH bukan kontrak sampai mati
Tengku Zafrul nafi wujud sabotaj dalam kempen calon PKR
PAS yang patut keluar PN, bukan Bersatu
Sanusi memang gemar keluar kenyataan pelik
[VIDEO] Politik kebencian dan sentimen perkauman tak selesaikan masalah rakyat
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik