Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mencabar pihak lawan membuktikan dakwaan kononnya masih terdapat agenda pembangunan yang gagal dilaksanakan sepanjang pentadbiran PH di negeri itu.
Pengerusinya, Aminuddin Harun berkata dakwaan tersebut tidak berasas kerana pelbagai inisiatif dan projek yang dirancang kerajaan negeri telah dilaksanakan sepanjang lima tahun lalu.
“Apa yang tergendala? Kalau mereka sendiri ‘copy-paste’ apa yang PH lakukan, maknanya perkara itu sudah dilaksanakan.
“Ceritalah pasal agenda tertinggal, tapi apa dia? Buktikan, tuliskan. Sampai hari ini mereka tidak tunjukkan apa yang tertinggal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi ziarah rumah ke rumah di Bandar Baru Sunggala, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan manifesto BN bukan meniru manifesto PH, sebaliknya bertujuan meneruskan agenda pembangunan yang didakwa masih belum disempurnakan.
Dalam perkembangan sama, Aminuddin turut menyifatkan hubungan antara BN dan Perikatan Nasional (PN) sebagai satu ‘drama politik’ yang hanya bertujuan menarik sokongan pengundi.
“Semua orang tahu mereka seolah-olah tidak ada persamaan tapi dalam masa yang sama mereka giat berjumpa sebelum ini, giat bekerjasama yang akhirnya memberi 11 kerusi kepada PN untuk bertanding,” katanya.
Beliau berkata, situasi itu menunjukkan wujud percanggahan dalam pendirian kedua-dua pihak, sekali gus boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini menyaksikan DUN Linggi menjadi antara kerusi tumpuan apabila Aminuddin mempertahankan kerusi itu dalam saingan tiga penjuru menentang penyandang BN, Mohd Faizal Ramli dan calon BERSATU, Zamri Md Said.
PRN Negeri Sembilan melibatkan 36 kerusi DUN dengan PH berusaha mempertahankan pentadbiran negeri yang diterajuinya sejak 2018, manakala BN dan PN masing-masing berusaha menambah penguasaan kerusi di negeri berkenaan.
Fahmi: Politik kebencian dan sentimen perkauman tak selesaikan masalah rakyat
14 kertas siasatan dibuka sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan
BN tidak kompromi isu perkauman walau ada kerjasama politik: Zambry
Fahmi: Politik sepatutnya menyatupadukan rakyat, tindakan pemimpin PAS dikritik
Selepas BN enggan kongsi manifesto, PN tampil dengan tawaran sendiri
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik