Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Mohd Sharkar Shamsudin berkata beliau tidak terkejut dengan kenyataan Muhammad Sanusi Md Nor kerana menurutnya, pemimpin PAS itu sememangnya gemar mengeluarkan kenyataan pelik.
Beliau bagaimanapun berpandangan kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkaitan kaum dan identiti negara boleh mengguris perasaan sebahagian pengundi, khususnya di Negeri Sembilan.
“Sanusi ini semua orang tahu dia macam itu, kalau benda itu tak keluar dari mulut Sanusi baru kita rasa pelik.
“Bagi saya ia hanya ‘another statement by Sanusi’, dia memang akan keluar kenyataan yang pelik-pelik.
“Pada pandangan saya, ia agak ‘menghirislah’…takkan kita nak suruh orang Cina balik China, India balik India,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Indera Mahkota, hari ini.
Mohd Sharkar mengulas ucapan Sanusi ketika berkempen di Jempol, Negeri Sembilan pada Khamis lalu yang didakwa menyentuh isu penguasaan politik Melayu, ekonomi dan identiti negara.
Dalam ceramah itu, Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah mendakwa kuasa politik serta penguasaan ekonomi orang Melayu semakin terhakis dan berisiko hilang dalam tempoh 10 tahun jika tiada perubahan dilakukan.
Beliau turut berkata Malaysia merupakan satu-satunya Tanah Melayu untuk masyarakat pribumi, manakala kaum lain mempunyai negara asal masing-masing.
Susulan kontroversi itu, Sanusi menjelaskan kenyataannya dimanipulasi dan menegaskan apa yang disampaikan hanyalah fakta sejarah sambil memaklumkan bakal membuat laporan polis serta mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didakwa memutar belit kenyataannya.
“Saya sebut benda yang fakta sahaja. Siapa-siapa yang cuba memanipulasi isu ini untuk kepentingan politik, saya akan saman.
“Saya akan buat laporan polis balas. Saya akan ambil tindakan undang-undang untuk membetulkan keadaan. Jangan cuba memesongkan fakta,” katanya.
Mengulas kesan kenyataan itu terhadap Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Mohd Sharkar berkata sukar untuk meramalkan sejauh mana ia mempengaruhi sokongan pengundi.
“Sebab orang Negeri Sembilan ini, kita tidak tahu bagaimana penerimaan mereka terhadap kenyataan Sanusi itu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata formula kerjasama BN dan PN yang digunakan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan tidak semestinya boleh diterapkan di negeri lain, termasuk Pahang, kerana setiap negeri mempunyai landskap politik yang berbeza.
“Orang Negeri Sembilan tahu apa yang sesuai untuk mereka dan tidak semestinya apa yang boleh dibuat di sana, boleh juga dibuat di Pahang atau di Melaka atau di negeri lain.
“Kita kena lihat suasana politik hari ini dari konteks lebih luas, kita kena fahamlah apa yang berlaku di peringkat Pusat dan negeri adalah entiti yang berbeza,” katanya.
Fahmi: Politik kebencian dan sentimen perkauman tak selesaikan masalah rakyat
14 kertas siasatan dibuka sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan
Kempen masuk minggu kedua, Aminuddin fokus dekati pengundi seramai mungkin
Fahmi: Politik sepatutnya menyatupadukan rakyat, tindakan pemimpin PAS dikritik
Selepas BN enggan kongsi manifesto, PN tampil dengan tawaran sendiri
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik