Kes hantaran palsu: Papagomo perlu bela diri September ini

July 30, 2026 · Isu semasa

Mahkamah Sesyen Sepang pada Khamis memerintahkan penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo, membela diri atas pertuduhan menerbitkan hantaran palsu yang mendakwa 11 Ahli Parlimen PKR menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Hakim Ahmad Fuad Othman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Ahmad Fuad berkata mahkamah berpuas hati ketiga-tiga elemen pertuduhan berjaya dibuktikan berdasarkan keterangan saksi serta dokumen yang dikemukakan sepanjang perbicaraan.

Beliau turut menolak hujahan pihak pembelaan yang mendakwa pendakwaan gagal membuktikan kes kerana hanya memanggil dua saksi.

“Bilangan saksi bukan faktor penentu sama ada sesuatu kes berjaya membuktikan kes prima facie. Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan ketiga-tiga elemen pertuduhan dan tertuduh diperintahkan membela diri,” katanya.

Menurut beliau, kandungan hantaran palsu berkenaan bukan sahaja berpotensi mengganggu ketenteraman awam, malah boleh menjejaskan keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik serta ekonomi negara.

“Bayangkan kesan kandungan ini bukan sahaja menimbulkan kegusaran orang ramai, malah dalam konteks ini, ia menjejaskan pelabur,” katanya lagi.

Mahkamah kemudian menetapkan 1, 2 dan 15 September depan bagi prosiding bela diri, manakala keputusan kes dijadualkan pada 22 Oktober.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Faten Hadni Khairuddin, berhujah kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 tidak bergantung kepada sama ada tertuduh merupakan individu yang mula-mula mencipta kandungan berkenaan.

Menurutnya, tindakan memuat naik semula kandungan palsu ke akaun Facebook sendiri dengan niat yang dilarang undang-undang sudah memadai untuk memenuhi elemen kesalahan di bawah peruntukan itu.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Wan Muhammad Azri berhujah tiada bukti kukuh menunjukkan anak guamnya ialah individu yang mencipta atau memulakan komunikasi palsu tersebut.

Beliau berkata keterangan saksi pendakwaan sendiri menunjukkan mesej berkenaan telah lebih awal tular menerusi aplikasi WhatsApp sebelum dimuat naik ke Facebook, sekali gus menyebabkan elemen utama pertuduhan gagal dibuktikan.

Wan Muhammad Azri, 42, didakwa membuat dan memulakan komunikasi palsu menggunakan akaun Facebook “Muhammad Azri” pada 28 Mei 2025. Hantaran itu mengandungi dakwaan bahawa 11 Ahli Parlimen PKR menarik balik sokongan terhadap Anwar dengan niat mengganggu dan menyakitkan hati orang lain.

Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM500,000, selain denda tambahan sehingga RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.

Berita berkaitan
MCMC, LLM berganding bahu atasi kawasan internet lemah di lebuh raya negara
July 30, 2026· Isu semasa
Ahli perniagaan pukul pengawal peribadi dipenjara lima tahun, rayuan ditolak
July 30, 2026· Isu semasa
PRN NS: Loke dakwa difitnah pemimpin UMNO konon bakal jadi MB
July 29, 2026· Politik
Sindiket SMS penipuan guna fake BTS digempur MCMC, seorang ditahan di Johor
July 29, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Muhyiddin cadang sidang khas RCI TH dilanjutkan dua hari
2 jam lalu · Isu semasa
Keputusan rayuan Majlis Peguam cabar pengurangan hukuman Najib ditangguh
3 jam lalu · Isu semasa
Lapan pegawai SPRM masuk Ibu Pejabat TH, mulakan siasatan
9 jam lalu · Isu semasa
PRN NS: SPRM terima empat aduan dakwaan politik wang
11 jam lalu · Isu semasa
TH jual aset RM9.7 bilion elak institusi daripada lumpuh
12 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] NGO Melayu N9 seru rakyat pertahan kestabilan dan agenda pembangunan, tolak fitnah dan sentimen kaum
9 jam lalu
[VIDEO] Jangan guna laporan RCI untuk bersihkan pemimpin salah tadbir TH walaupun tiada ‘sakau’
11 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok