Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghadap Sultan Ibrahim hari ini.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan semua kementerian dan agensi berkaitan memperketat kawalan keselamatan di lapangan terbang serta semua pintu masuk negara bagi membendung penyeludupan dadah dan jenayah rentas sempadan.
Seri Paduka Baginda bertitah, aspek keselamatan di pintu masuk negara perlu sentiasa diperkasa menerusi penguatkuasaan lebih berkesan, pemantauan berterusan serta kerjasama erat antara semua agensi berkaitan.
Titah itu disampaikan selepas Seri Paduka Baginda menerima menghadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pertemuan lebih satu jam di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur, hari ini.
“Langkah berkenaan penting bagi membendung kegiatan penyeludupan dadah serta mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam,” titah baginda dipetik dalam Royal Press Office (RPO).
Dalam pertemuan itu, Sultan Ibrahim turut berkenan menerima taklimat mengenai Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH), selain isu semasa membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
Baginda menitahkan supaya siasatan terhadap perkara berkenaan dilaksanakan secara menyeluruh tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
Sultan Ibrahim turut menegaskan siasatan perlu dijalankan “sehingga ke lubang cacing” bagi memastikan setiap pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya.
Baginda juga mengingatkan supaya kelemahan atau salah laku yang berlaku tidak berulang pada masa depan.
“Jangan ada yang terlepas daripada tindakan sekiranya benar-benar didapati bersalah. Yang penting, perkara seperti ini tidak boleh berulang,” titah baginda.
Keprihatinan terhadap keselamatan pintu masuk negara hadir ketika pihak berkuasa terus berdepan cabaran membanteras penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia dan pelbagai bentuk jenayah rentas sempadan.
Pada masa sama, pengukuhan kawalan di pintu masuk negara memerlukan koordinasi berterusan antara agensi penguat kuasa bagi memastikan pemeriksaan, risikan dan tindakan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Titah Sultan Ibrahim turut menekankan keperluan tindakan tegas bukan sahaja terhadap kegiatan jenayah di sempadan, malah terhadap sebarang kelemahan penguatkuasaan yang boleh membuka ruang kepada ancaman keselamatan negara.
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
Kes saman RM1.9 juta: Najib dibenar hadir prosiding lawan Tommy Thomas
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum