Kawalan sempadan diperketat, 24,631 pelawat ditolak

16 jam lalu · Isu semasa

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merekodkan 24,631 tindakan Notis Penolakan Masuk (NTL) dan 707 tangkapan bagi pelbagai kesalahan imigresen sepanjang tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata tindakan itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan memperketat kawalan sempadan serta membendung kemasukan warga asing yang tidak mematuhi peraturan imigresen.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius isu kemasukan tanpa kebenaran dan keberadaan warga asing tanpa izin yang berpotensi mengancam keselamatan negara serta ketenteraman awam.

“Sehubungan itu, KDN bersama semua agensi barisan hadapan, termasuk AKPS, melaksanakan strategi kawalan imigresen secara menyeluruh merangkumi peringkat pra-kemasukan, kemasukan dan pasca-kemasukan,” katanya.

Beliau menjawab soalan bertulis Suhaili Abdul Rahman (Bebas-Labuan) di Parlimen mengenai langkah penguatkuasaan dan mekanisme saringan di pintu masuk negara, khususnya terhadap pelawat asing yang dikategorikan berisiko tinggi atau disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan.

Menurut Saifuddin, antara langkah yang dilaksanakan ialah penggunaan Sistem Saringan Awal Penumpang (APSS) bagi menganalisis data penumpang secara automatik sebelum pengangkutan berlepas ke Malaysia.

Sistem itu membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti pengembara berisiko tinggi dan individu yang disyaki terbabit dalam kegiatan jenayah lebih awal.

Pemeriksaan dokumen perjalanan, bukti penginapan dan Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) turut diperketat bagi mengesan kemungkinan penyalahgunaan kemudahan imigresen.

Bagi pelawat warga China yang menggunakan kaunter manual, mereka diwajibkan mengemukakan tiket penerbangan pulang serta bukti perjalanan seterusnya. Pemeriksaan berfokus turut dilaksanakan di lorong e-Gate bagi memastikan kawalan keselamatan terus terpelihara.

“AKPS turut bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi berkongsi maklumat perisikan serta mengesan individu berisiko tinggi atau yang mempunyai kaitan dengan sindiket haram,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh kawalan sempadan untuk jangka panjang, Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) dijangka siap sepenuhnya menjelang 2028, manakala Sistem Pengecaman Biometrik Automatik (ABIS) dijadualkan diperkenalkan pada suku ketiga 2027 bagi meningkatkan pengesahan identiti dan membendung penipuan pasport.

Mulai 1 November 2026, sistem Identiti Digital Asing pula akan memadankan data biometrik bagi memastikan setiap individu mempunyai identiti digital yang unik. Pelaksanaan penuh laluan pusingan autogate bagi warga asing yang keluar dari Malaysia turut dijadualkan pada Disember ini bagi mengelakkan manipulasi rekod pergerakan.

Selain itu, kemudahan Visa Kemasukan Berganda bagi lawatan sosial jangka pendek telah ditamatkan berkuat kuasa 1 September lalu bagi membendung penyalahgunaannya untuk pekerjaan haram dan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

“KDN menerusi AKPS akan terus meningkatkan kawalan sempadan berasaskan risiko demi memelihara keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.

Berita berkaitan
Shuhaily didakwa esok berhubung kes di KLIA: Laporan
October 20, 2026· Isu semasa
MOF belum putuskan bantuan kewangan untuk AirAsia
October 19, 2026· Isu semasa
MoF buka ruang rayuan bantuan untuk M40 terjejas bila-bila masa
October 19, 2026· Isu semasa
Pegawai AKPS maut akibat tekanan pada leher: Polis
October 17, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Polis Negeri Sembilan siasat dua kes hina institusi diraja, lelaki ditahan
3 jam lalu · Isu semasa
Jangan tular video insiden sekolah: MCMC
8 jam lalu · Isu semasa
Data 7.7 juta pengguna Waze didakwa dijual di dark web
9 jam lalu · Isu semasa
Super El Nino dijangka berlarutan hingga Januari 2027
11 jam lalu · Isu semasa
Jerebu: Malaysia tuntut Indonesia bertindak, bawa isu ke ASEAN
12 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok