Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memohon maaf kerana tidak dapat hadir dalam Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH), hari ini.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Anwar turut mendoakan supaya persidangan khas itu berjalan lancar selain akan mengikuti perbahasan mengenai laporan berkenaan secara dekat.
“Perdana Menteri turut memohon maaf kerana tidak dapat bersama dalam Sidang Khas bagi membahaskan Laporan RCI Tabung Haji dan mendoakan agar persidangan berjalan lancar.
“Beliau akan mengikuti perbahasan secara dekat demi memastikan amanah institusi umat Islam ini terus dipelihara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, keadaan kesihatan Perdana Menteri semakin baik dan beliau akan meneruskan rawatan fisioterapi di bawah pemantauan pasukan pakar perubatan.
Anwar sebelum ini dilaporkan selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat masalah hernia perut atau ‘para-umbilical hernia’.
Ketidakhadiran Anwar dalam Sidang Khas itu berlaku ketika Dewan Rakyat memberi tumpuan kepada Laporan RCI Tabung Haji yang antara lain meneliti kelemahan pengurusan dan tadbir urus institusi berkenaan.
Sidang khas itu diadakan bagi membolehkan laporan RCI dibahaskan susulan siasatan terhadap isu pengurusan TH, termasuk keputusan pelaburan dan langkah pengurusan terdahulu yang didakwa memberi kesan kepada kedudukan kewangan institusi berkenaan.
Dalam kenyataan sama, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan kesejahteraan dan kesihatan beliau.
Beliau turut berterima kasih atas ingatan serta ucapan yang diterima sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-79 pada Isnin lalu.
Walaupun masih menjalani proses pemulihan, Anwar memberi perhatian terhadap perjalanan Sidang Khas Dewan Rakyat itu bagi memastikan perbahasan berkaitan masa depan dan tadbir urus TH terus diberi perhatian sewajarnya.
Bersatu pertahan RCI TH, kecam tindakan Ahli Parlimen PN keluar dewan
CEO TH dalam lembaga 1MDB ketika beli tanah TRX, Parlimen diberitahu kerugian RM145.3 juta
Keluar Dewan: Pembangkang PN tak peduli amanah pendeposit Tabung Haji?
Anwar saman Tuan Ibrahim berhubung kenyataan fitnah
Bendera tanpa bulan bintang, Akmal mahu penjelasan MBKT
[VIDEO] Anak perantauan digesa balik, undi calon PH demi masa depan Negeri Sembilan